Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh



Friday, September 16, 2011

Ibadahkah?


Aduhai malam,
Lailatulqadar tak jua tiba-tiba.
Alahai siang,
puasa adalah lapar menunggu upah.
Amboihai petang,
Ramadhan bulan pesta makan-makan
Wahai ummah,
Ibadahkah?

yassinsalleh
1250 hrs. Ogos 17. 11
Hospital Kuala Lumpur
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Sepotong Kemboja Di Rumah Akhirku


Serindit,
kerana kau sahabat yang tulus
pun hilang sudah sayangmu yang belas.
Segala yang eluk
molek dan indahmu cuma
yang ku raikan dalam ingatanku abadi.

Tak ada yang tidak eluk.
Segalanya indah-indah belaka
Semuanya molek-molek sempurna.

Sekiranyalah aku
diberuntungkan Allah S.W.T.
dimakbulkan satu doa
akan ku pinta
Lailatulqadar singgah di rumahmu.

Nanti,
kau pacakkanlah
sepotong kemboja
di rumah akhirku

yassinsalleh
1435 hrs. Ogos 24. 11
La Cassa Pacifica D’ Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Akan Ku Genggam Air Telaga


Hujan tak jadi turun.
Kita tunggulah embun dinihari
meramahi kuntum melor
layu di hujung halaman.
Membasahi
rumput merekah di kaki tangga.

Esuk,
kalau matari
akan terus jua
membakar garang,
akan ku genggam air telaga
menyirami debu di halaman
yang terbang menusuk mata.

Kalau orang bertanya
katakan kepadanya asap masuk ke mata.

yassinsalleh
2311 hrs. Sept 16. 11
Rumah Abah, Kg. Jerang,
Durian Tipus, Jelebu N9.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Thursday, September 15, 2011

Belasnyalah Alam


Belalang di daun keladi
angin mengarak awan
matari redup rawan.

Hibanyalah balam
serindit
tak nak berkawan.

Aduhai
belasnyalah alam.

yassinsalleh
1519 hrs Sept 5. 11
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Ubi Masih Lagi Adakan!



Serindit di pohon tinggi
berangan tak gugur lagi.
Lalang menari-nari
kemanalah arah bunganya pergi
memutih bersih
di sigai pemanjat matari.

Lapar-lapar begini
terasa ingin pula aku
belajar menari.

Tapi
ubi masih lagi adakan!

yassinsalleh
1258 hrs. Ogos 13. 11
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Belatuk Menebuk Tiang


Dari fajar ke senja hidup,
di sepanjang jalan
mengarak panji wajah,
kita bagaikan menjaring angin,
laksana menggengam air

Kian kita mencari erti
kian itulah pula
pengertian hilang arah.

Makanya teruslah
bersimpuh jua si nenek tua yang tercari-cari
ke manakah hilang kacip tepak sirihnya.
Sambil
di sudut serambi
belatuk menebuk tiang.

yassinsalleh
1408 hrs. Sept 2. 11
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Setia Disayat Neraca


Raya di tapak tangan
Salam di langit semalam
Mohon di pangkal hati
Beri di hujung jari
Ingatan di kuntum kemboja.
Setia disayat neraca.
Melayu hilang ke mana?
Aduhai

yassinsalleh
1453 hrs Sep 1. 11
Dari Jerang ke Puchong
Ku singgah di telapak kelahiranku Ponson.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Wednesday, September 14, 2011

Takde Siapa Reti Baca



Dilema pesara tak berpencen
Nak minta orang tolong malu.
Nak minta kawan-kawan bantu
lama-lama dia jemulah pulak.

Nak motong
getah dah tak bersusu
Nak beli toto hukumnya haram,
nanti JAIS tangkap.

Nak jadi blogger
cuma pandai tulis sajak,
takde siapa reti baca,
mana nak laku.

Nak jual tapai kat pasar lambak
orang  ramai sangat
kencing manis,
siapa nak beli.

Nak ngadu kat Mummy,
nak pergi jauh,
tambang ekspress mahal.
Nak hitch hike
kereta tak nak berhenti
ambik orang tua.

Mummy,
Perut D kian hari kian tambah sakit.
Aduh.

yassinsalleh
0900 hrs. Sept 15. 11.
Ponson, Manchis, Bentong.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Cantiknyalah Rimbun Teduhnya Nanti



Sepatutnya sebelum raya
kalang pusara Mummy
siap dipasang.
Maafkan Daddy, Mummy.

Sebaik kemampuan memungkinkan
kalang itu akan daddy sempurnakan terbina.
Lengkaplah nanti rumah akhir Mummy itu.
Keratan kemboja dah subur tumbuh.
Cantiknyalah rimbun teduhnya nanti.

Daddy Loves Mummy.

yassinsalleh
1601 hrs. Sept 14. 11
Rumah Akhir Mummy,
Tanah Perkubura Pengkalan Balai, Chenor.
Copyright ©2011 yassinsalleh 
All Rights Reserved

Aduhai Long!



Kalaulah aku ini unggas
akan ku pinta tempua
mengajar anak-anakku
menganyam sarang.

Nanti,
bila aku dah tiada lagi
pandai-pandailah
mereka mencari pohon
membina sarang
di dahan-dahan pautan.

Tapi,
betapalah ya,
aku bukan unggas.
Tapi cumalah
seorang pengembara tua
yang mengheret kakinya luka.

Di manakah
agaknya nanti
kalian
akan berteduh,
duhai
anak-anakku tersayang.

Aduhai Long!

yassinsalleh
1335 hrs. Sept 9.11
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright ©2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Tuesday, September 13, 2011

Idaman Seekor Labi-Labi


Merbah
aku suka sangat kalian datang
memeriahkan perkarangan rumahku
tapi janganlah kau kata sebab kau sukakan aku
semua belalang tahu, puyu pun tahu
kau sukakan lada merah dan betik masak
di kebunku dan pagar lalangnya
katalah apapun jua
tapi janganlah kata kau sukakan
bunga lalang berterbangan
kerana sebenarnya semua rama-rama tahu
cacing dan putik bacang pun juga tahu
betapa daun dan duri lalang adalah
tapak tupai tua membina sarangnya
di pucuk meranti tinggi
jendelanya tak berlangsir
bahara sebuah mimpi
idaman seekor labi-labi,
 
yassinsalleh
1307 hrs mei 3. 10
ponson, manchis, bentong, pahang
copyright © 2010 yassinsallreh
All Rights Reserved

Menatang Duka Piatunya

Malam ini
dalam sinarnya yang belas
bulan akan terus melagukan rindu
mengiringi
bintang-bintang menari
gemerlap terapung-apung
di langit mimpi tak bertepi
 
Dan bagaikan biasa
akan ku tonton pilu itu
sehingga tiba camar fajar
memeriahkan bayu laut
melerai nestapa satu malam
menatang duka piatunya.
 
yassinsalleh
0135 hrs Feb 7. 11
Malam pada puncak sepinya.
Copyright ©2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Sang Dalang Wayang Bertelanjang

Bagaikan gerimis hilang pelangi di langit
bila pengembara
hilang sepatu
di mesjid.
Bilakah akan kudung tangannya
si pencuri itu?

Lalu,
Biara hilang mimbar
tabtibau hilang senja,
angin hilang warna.

Dan
pusara 
tumbang kemboja.

Lalu siangpun menghampar senja
di ranjang
sang dalang wayang
bertelanjang.

yassinsalleh
1351 hrs. jan 14. 2011
ponson , manchis, bentong, pahang.
Copyright ©2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.


Saturday, September 10, 2011

Dan Kalau Perlu Dilengkapkan

Sehari selembar benang mencarik pakaian
lambat laun akan telanjang.
Sehari sepatah kata menoda bahasa
lambat laun kita hilang tamadun bangsa.
Sehari seorang menteri terus memperkaya diri
lambat laun tergadai negeri.
Sehari sekali ditembakkan gas pemedih mata
lambat laun rakyat tak kenal lagi istana.

Kepada siapakah lagi tempat nak mengadu
ke air itik mati
ke kepuk ayam tak dapat makan padi
bersuara akan jadi penghuni penjara
berpakat akan ditangkap berkonspirasi
menegakkan hak akan dihukum penderhaka.

Makanya,
untuk selamat menjamin sejahteramu duhai melayu,
teruskanlah kamu bisu dan dungu
teruskanlah memperkemas kehambaanmu
dan gilaplah bijaksanamu mengampu
dan membenteng para pemimpinmu
meniduri anak dan isterimu
dan kalau perlu dilengkapkan
biarkanlah pula
mereka berkongsi menjimak ibumu.

Jangan sekali-kali lagi kalian mengeluh
nikmati sahajalah habuanmu
dan dengarkan sajalah tanpa gundah
prihal kraton
yang sudah entah kemana hilang penghuninya

yassinsalleh
0407 hrs mach 8.09
La Cassa Pacifica D’ Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Aduhai, alahai, amboihai! Niama Ka Hai!


Omar Khayam berpesan
“Bersahabatlah dengan orang dari keturunan baik-baik”

Apakah takrifnya
orang dari keturunan baik-baik, itu?
Kaya Raya? Penguasa? Berkuasa?
Atau
beriman, bertakwa, berjiwa murni, berhati mulia?
Pelakon drama swasta, penerbit wayang panggung untuk Astro First?
Atau
Pelakon porno dan Penerbit pornografi tak perlu lesen tayang
Editors dan Reporters Harian dan Blogs dan bloggers  Netizens?
Atau
orang tua kampung  yang tergaru-garu kepala tak faham apa orang cakap
tapi, tiba-tiba pandai pula jadi burung belatuk.
Menebuk-nebuk  pokok-pokok dengan rentak irama maestro Perbelatukan.

Bodohnyalah Melayu.
Aduhai, alahai, amboihai!
Niama Ka Hai!
 
yassinsalleh
1629 hrs. Mei  13. 2011
Ponson, Manchis, Bentong.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Menyatakan Hasrat Rindu Kepadamu



Kalaulah dapat jadi burung kelicap kan eluk
jumpa bunga hisap manisan
baunya harum segarnya ranum.

Tapi,
betapalah ya,
aku ni,
jangankan nak jadi burung kelicap,
nak jadi gagak pun tak dapat.

Kalau dapat jadi gagak
bolehlah juga nyanyi lagu
P. Ramlee,
“Beta umpama gagak di rimba
tak sepadan tak sebaya
ingin masuk ke syurga
bertemu jelita
menyatakan hasrat rindu kepadamu.”
Aduhai!
 
yassinsalleh
1322 hrs. Feb 22. 11
Melintas Titiwangsa
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Friday, September 9, 2011

Ku Bariskan Atas Padang Kenangan


Nak duduk tak selesa.
Nak baring takut terlena.
Malam karang susah pula nak tidur.
Nak berjalan kaki sakit.
Nak makan tekak loya.
Nak mancing ikan tak makan.
Nak ke pekan takut tak bertambang pulang.
Nak berubat tak berbeli cuma ada sirih pinang.
Nak membaca hanya ada surat khabar lama
penuh iklan barang mahal-mahal.
Nak tunggu bas, sekian lama sudah
tak pernah ada siapapun turun.
 
Makanya,
aku hitunglah wajah kawan-kawan
yang ku bariskan atas padang kenangan.
Tapi,
Satu lepas satu wajah itu hilang.
 
Terasa pula aku
macam akhir lagu Sepuluh Budak Hitam
“...satu budak hitam
sangat susah hati
tak mahu makan
langsung dia mati.”

yassinsalleh 
1742 hrs. Feb 19. 11
Ponson, Manchis, Bentong
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Aku Takkan Mencuri Masuk Ke Dapurmu



Bibir luka terbelah
lidah berdarah
rengkung bengkak merah
bisanyalah minum duri kaktus.

Malam gelita
bulan kena potong.
Notis diterima
kosongkan tempat ini
nak dijadikan lapang sasar jet pejuang
tembak kaktus tembak biawak tembak ular
tembak musafir piatu
menggalas lalu.
Aduhai.

Adik
aku nak tompang tidur di garaj belakang villamu,
boleh tak?

Tak lama,
betah luka di kakiku ini, aku pergilah.
Aku janji,
aku takkan mencuri masuk ke dapurmu.
Kalau aku mungkir,
kau incitlah aku di tengah malam
 
yassinsalleh
1915 hrs april 27. 10
ponson, manchis, bentong, pahang
Copyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved


Dia Bukan Anjing Yang Minta-minta


Sekian ini lamanya sudah
Sang Sudagar Mimpi
dari denai ke denai berakit mudik,
merangkak bukit,
menggalas serumpun angan-angan
yang tumbuh melata di ladang harapan
berbaja nestapa
disiram keringat duka.
 
Dalam senja-senja terakhir
dia menggalas arca igauannya
di lamanmu,
janganlah kau lemparkan tulang ke kakinya.

Walaupun lapar,
dia bukan anjing yang minta-minta.
Aku tahu betapa selama ini
dia sengsara menjilat lukanya,
kerana Sang Saudagar Mimpi itu
adalah Aku.
 
yassinsalleh
1618 hrs. April 10. 2011
Di pusara Mummy
Pada Nyanyi
Belated Happy Birthday untuknya
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved


selamat menyisir cemara rimba Bayu Bukit



Selamat pagi Matari,
selamat tidur Bulan,
selamat istirehat Bintang-bintang,
selamat bermain di pasiran Ikan-ikan,
selamat menyisir cemara rimba Bayu Bukit.
 
Berlalulah kalian
menghilir arus
siang yang tidak pernah cukup lapang
dan rambut malam yang tidak pernah cukup panjang.
 
Aku takkan dapat bersama kalian
berburu nasib di bara kerikil.
Hari ini
Puteriku terbang
pergi menatang rindu
ke benua jauh
menemui Udanya.
 
Cuma tiga biji
ketupat dapat ku bekalkan dia.
Angka tujuh tidak pernah menepati upayaku.

Alahai.
Selamat pergi Along.
Segeralah pulang dengan sejahteranya.
 
Daddy Loves Along
very Much.

yassinsalleh
0723 hrs. Mei 28. 11
Le Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved