Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh



Thursday, September 19, 2013

duhai ikan-ikan di kaca.


Kaca dah mula retak
takde ikan yang tersentak
bilalah agaknya
air akan mula meleleh
dan menitis ke lantai temasya
taman khayal fantasia
suatu keturunan bangsa
yang kian memupuk alpa
yang kian jua berbangga
menyanyikan lagu Kumbaya.

Demikianlah engkau
menuliskan
belasungkawamu sendiri
duhai ikan-ikan di kaca.

yassinsalleh
1135 hrs. Sept 19. 13.
Hospital Kuala Lumpur
Copyright (c) 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Friday, September 13, 2013

Takziah Buat Dr Syed Husin Ali Dan Keluarga

Saya, yassinsalleh dan keluarga dengan ini merakamkan ucapan takziah buat saudara YB Senator Dr Syed Husin Ali dan keluarga di atas kepulangan ke Rahmatullah isteri beliau yang tersayang, Puan Sabariah Abdullah. Semoga Dr Syed Husin dan keluarga sentiasa tabah, sabar dan redha.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

yassinsalleh dan keluarga
13 September 2013



Saturday, July 27, 2013

Sajak Buat Peneroka


Felda,
bermula dengan penerokaan hutan di lembah bilut
peneroka,
menebang hutan membakar pepohon memerun daun-daun
membuka ladang dalam semak samun
alahai ruginya balak dibakar diperun rentung begitu
makanya,
bermulanya felda hilang falsafah
peneroka diteroka serakus-rakusnya
bapanya mulakan dengan keinsafan
anaknya akhirkan dengan keserakahan nafsu
dari tipu timbang menimbang
sampailah joli ‘reserve’ simpanan
peneroka masih rumah kayu dah nak roboh
felda bina bangunan memanjat langit
berfaraidlah mereka semuanya
macam berbahagi harta pusaka mak bapak mereka
wahai kabilah peneroka felda sekalian
buat apa bising-bising’complain’
sendiri tuli sendiri bisu
sendirilah main batu yang kematu
di dunia yang mabuk
dalam muntah haloba kini
tiada tempat bagi si pengecut
yang asyik menggilap mimpi
dalam dodoi rindu
akademik fantasia 1malaysia

yassinsalleh
27hb Oktober 2010;
Copyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Dideklamasi oleh Haji Suhaimi Said
Pengerusi Biro Felda Dan Orang Asal PKR
di Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat

Daddy Rindu Mummy.

Mummy sayang
Daddy datang kali ini
sekadarkan mampu untuk tidak lagi menangis
dalam pilu aku memanjatkan doa dan Al Fatihah.
Selainnya,
hanya ada sajak duka
yang mampu ku baca
di bawah teduhan kemboja
pusaramu tenteram.

Itu sajalah cumanya Taj Mahal
yang termampu ku bina
bagi meraikan
permainya keramat cinta
kasih sayang kita berdua
yang abadi dan tersendiri.

Mummy sayang
kalau sebelum daddy mati
masih jua belum ada rumah
untuk anak-anak kita berteduh
telah ku pinta tempua
mengajarkan
seninya menganyam sarang.

Daddy rindu mummy.

yassinsalleh
0410 hrs. Julai 28. 13.
Tanah Perkuburan Pengkalan Balai, Chenor.
Copyright © 2013 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Friday, July 26, 2013

Otak Penuh Cacing Kerawit

Syawal ini raya sakanlah
orang Kuala Besut.
Alhamdulillah.

Bertuahnyalah jadi Melayu
air pasang bawa duit, duit, duit
sampai jadi dungu otak penuh cacing kerawit
terpesona dan amat mempesona
harum janji jarum sakti
tak siapa mengerti
betapa murahnya maruah
tak berhargalah nilai diri.

Bilakah pulak lagi
ada wakil rakyat yang mati
bolehlah pula raya sakan
Di Raya Haji.

yassinsalleh
1730 hrs. Julai 25. 13
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2013 yassinsalleh
All Rights Reserved.


Citra Hiba Zikir Sang Fakir

Ramadhan
amal Ibadah sarat berkat
menuntut amaljariah
pemenuh hakikat.

Yang melarat melata rata-rata
tunggu sajalah LailatulQadar
itulah satu-satunya lagi
yang masih mungkin.

Tiada lagi yang berbaki
untuk menjariahimu
selepas usai pesta makan
sampai tamat bulan lapar
peragaan fesyen pakaian pun
menutup acara
pesta makan-makan
upah lapar sampai petang
sekujur malam seluruh siang
sepanjangnya Ramadhan.

Citra hiba zikir Sang Fakir
kikir Si Mungkir
Syawal melabuh takbir.

yassinsalleh
1425 hrs. Julai 25. 13
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Adakah Agaknya

Nak beli toto,
haram.
nikan bulan puasa,
dosa.

Di pasar Ramadhan
adakah agaknya
orang nak beli tongkat?

yassinsalleh
1225 hrs. Julai 25. 13
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Tuesday, July 16, 2013

Di manakah Sang Fakir?

Sahur di pipi fajar
bekal sehari lagi berpuasa
ibadat yang mengingatkan
betapa deritanya orang miskin
sang fakir yang melata merata.

Seharianlah bertahan lapar
mengawal nawaitu jangan
jadi mungkar
mengawal nafsu jangan
terlepas pagar.
Semoga sempurnalah puasa
semoga pahala saratlah berganda.

Sepanjang hari dalam hati
memikirkan lazatnya juadah
hidangan nanti petang
berbuka puasa pelepas pantang.

Di pasar Ramadhan
di manakah sang fakir?

yassinsalleh
0956 hrs. Julai 16.13.
Hospital Serdang
Copyright © 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved

Saturday, July 13, 2013

Jinam Binti Tahir, Uwanku yang amat ku rindu


uwan
ku dakap namamu
di pusaramu
dalam rinduku di puncak pilu
aku rebahkan tubuhku
di kemboja nisan pusaramu
ku bacakan sajak piatu
ku lagukan simfoni kalbu
mengingatkanku
kasihmu yang gagah
semangatmu yang megah
yang membentukku
jadi kebal dalam dunia
yang kian bertambah bebal.

Jinam Binti Tahir
Uwanku yang amat ku rindu
di pusaramu ini
aku berjanji
akan tetap terus cekal
mendepani duniawi yang dajal
kerana kau telah mengajarku
untuk jadi anak baik
dalam nilai yang tidak pernah terbalik

Uwanku
damailah engkau di alammu
yang kekal dan abadi
dan aku walaupun kini
sudah bersolat dalam duduk
aku akan terus berani
berkelana sendiri
dalam gurun penuh duri
mencari nafiri para sufi

yassinsalleh
1003 hrs. Julai 14. 13.
Pusara Uwanku
Tanah Perkuburan Islam Ketari,
Bentong.
Copyright © 2013 yassinsalleh
All Rights Reserved

Monday, July 8, 2013

Dapatkan Simfoni Sepi Melalui Pos.


harga Rm 80.00
belanja pos Rm5.00
pesanan dibuat kepada
yassinsalleh53@yahoo.com
atau
facebook: Yassin Salleh
atau
SMS kepada yassinsalleh
016 3904 326

Saturday, July 6, 2013

Sedangkan Angin Tetap Jua Bertiup Lalu



Kalau habis beras di tempayan
geseklah antah buatlah bubur
masih boleh tak mati kebulur.

Kalau rabak pakaian di badan
jahitlah perca tampal-tampalkan
esuk lusa entah-entah tudung saji
 akan tetap jua hanyut terapung.

Tapi kalau lidah hilang nyanyi
metafora sembunyi
dan rima memencil diri
jauh di hujung pelangi
apalah lagi yang boleh diganti
takde apa yang boleh digesek
takde apa yang hendak dijahit.

Maka, termanggulah dalam bisu
Kelulah lidah dalam pilu
sedangkan angin tetap jua
bertiup lalu
menderu.

yassinsalleh
1303 hrs. Julai 6. 2013-
La Casa Pacififa D Yasleh
Copyright © 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved

Thursday, June 20, 2013

lambang kasihku padamu, Tuhanku.


Ku tuliskan syair rindu di kelopak angin
biar angin menyanyikan ke serata alam cinta
ke merata pelusuk citra gunung lara lembah duka
awan sutra pelangi tua.

Oh alam terimalah
ku jadi penghunimu
bebaskanku dari rindu

Runtuhan mimpiku
ku binakan Menara
lambang kasihku padamu
Tuhanku

yassinsalleh
1055 hrs. June 21.13
La cassa Pacifica De Yasleh
Copyrigh (c) 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved

Monday, May 20, 2013

Alahai, indahnyalah alam.




Matari menyingkap gelita malam
renyai gerimis merentang pelangi di hitam awan
nyanyian merbah membuka sunyi alam
itulah yang ku lihat sepermainya.
gundah pada bersimpuh  seindahnya.

Dan hari ini pada tua angka 67
walaupun langkah sudah pada bertatih
aku mahu terus berlari jua
pun saujana padang sudah hilang belalang
dan angin kian sukar untuk di jaring
dalam pada tak mungkin ku cuba jua menggenggam air
Alahai, indahnyalah alam.

yassinsalleh
0948 hrs. Mei 21. 2013.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 201 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Tuesday, April 30, 2013

5. 5. 13. PRU 13


5. 5. 13. PRU 13
Undiku
adalah dedikasiku untuk A KUGAN
Undiku
Adalah ‘tribute’ku untuk TEOH BENG HOCK
Undiku
Adalah Al Fatihahku untuk AHMAD SARBAINI MOHAMED.
Undiku
Adalah belasungkawaku untuk ALTANTUYA SHAARIIBUU
Nama kalian terukir dalam ingatan putra-putri Titiwangsa
Malang kalian terpahat di dada pari-pari Santubung
Mati kalian jadi ingatan abadi Nafiri di bawah bayu Kinabalu.
5. 5. 13. PRU 13 hari keramat tahta keadilan.
Ini Kalilah!

yassinsalleh
0042 hrs 1. 5, 2013.
La Casa Pacifica D’ Yasleh
Puchong Selangor.
Copyright © 2013 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Thursday, November 29, 2012

Rakaman Showcase Dia Di Mana, di Stor Teater DBP



yassinsalleh mendeklamasikan sajak Gemersik Muzik Simfoni Sepi dan Along, Yasleh Rita Ayu, menyanyikan lagu dari sajak itu, gubahan Komposer Ikhtiman Ismail.

Balang Rimbun Productions merakamkan Showcase untuk Siri Dolumentari Dia Di Mana sebanyak 13 episod untuk ASTRO Channel 105. Sutradara Sabri Yunus. Sajak dari Simfoni Sepi - Himpunan Sajak Siber yassinsalleh. Studio Stor Teater DBP. – 29. 11. 12


Gemersik Muzik simfoniSEPI

Mummy sayang,
hari demi hari,
kian bertambah lama Mummy pergi
kian itulah pula bertambah pedihnya sayu.

Bergetar di talian biola pilu,
berdebar di dada rebana paluan rindu.

Setiap malam
pada sampai bulan lelah,
setiap fajar
yang menangguhkan tiba
dalam genta muzik luka
aku berlagu tanpa nyanyi
kerana suaraku hilang entah ke mana sembunyi.

Tapi aku tahu
di kaki tirai pentas Mummy ada di situ
mendengarkan nyanyi qalbuku nestapa
dalam gemersik muzik simfoniSEPI.

yassinsalleh
0240 hrs. Mach 3. 2011
Le Cassa Pacifica De Yasleh
Kuala Lumpur

Dari: Simfoni Sepi
         Himpunan Sajak Siber yassinsalleh

Friday, November 16, 2012

Salute Pawai Keramat Rakyat Berdaulat.




Mereka kata
Lynas dijamin tidak bahaya
siapakah mereka  yang semudah itu menjanjikan
bahawa yang mandi dan minum hujan radioaktif Lynas
akan selamat sempurna.

Kerabat mereka inilah juga dulu
yang mengempang Bakun.
Kononnya
nak menyalurkan letrik bawah laut terpanjang di dunia.
Berbillion sudahnya  balak Bakun dibalun dipulun.
Kini Baram pula mahu di empang juga
Berapa billion pulakah nanti balak tumbang?

Dan para suku sakat lanun itu kini
masih menganggap rakyat itu dungu
makanya,
hari ini mereka melihat kebangkitan rakyat berani
perarakan rakyat  Himpunan Hijau pawai keramat 
berarak menuju parlimen untuk menyatakan protes
ke mata, ke telinga rakyat
ke mata, ke telinga dunia sejagat
ke mata, ke telinga
para Duli Lanun pengumpul Qorun
yang akan terkencing dalam celana.

Rakyat berani, bangsa berani
menentang khianat pemerintah
Salute pawai keramat rakyat berdaulat.

yassinsalleh
1250 hrs. Nov 17. 2012.
La Casa Pacifica D’ Yasleh
Copyright © 2012 yassinsalleh
All Rights Reserved

Monday, November 12, 2012

Dalam Masyarakat Orang Telanjang kau masih jua seorang wira saudaraku Anwar Ibrahim




Apa lagilah yang tinggal
bagi suatu bangsa
yang kehilangan semalamnya?

Keris di pinggang
tak lagi diasap harum kemenyan
tak lagi diusap limau langiran
dan, setiap kali terhunus
setiap itu pula ia kembali
tersarung tanpa menikam apa-apa!

Makanya,
di manakah lagi akan tercari
erti semangat besi kursani,
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa bernama melayu
yang asyik menyanyikan lagu si luncai
yang lemas di tasik kedayusan abadi.

Aduhai Melayu,
apakah keris lambang kepahlawananmu
kini cuma sekadar alat
persendaan para sida-sida
di pentas erotika bangsa,
di mana berkumpul sang bacul
memuja si khianat bertakhta
di mana si bangang dan sang bahlul
bertemasya merayakan ketuanan mereka

Sebagai rakyat tolol
yang tanahairnya kian dogol
dan mandul!

Alahai Melayu,
apabila suatu bangsa
sudah tidak dapat lagi membezakan
antara kebenaran dan kepalsuan
makanya, bangsa itu sudah mula
membuangkan pakaian di tubuh
kerana di dalam masyarakat orang telanjang
yang berpakaian dianggap biadap
dan tidak sopan.

Syabas saudaraku Anwar Ibrahim
kau masih jua seorang wira
yang tidak membuang pakaianmu
dan obor perjuangan masih jua tetap
benderang di tanganmu!

Semoga selamatlah engkau
dalam lindungan ALLAH SWT

yassinsalleh
Permatang Pauh
Ogos 17, 2008.
Copyright © 2008 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Dari: Nyanyi Malam.
         Himpunan Sajak Siber 2 yassinsalleh

Thursday, November 1, 2012

Biarpun Tujuh Liang Dadamu Tersayat




Duhai komrad,
Seladang Di Rimba dan Cikgu Jalaludin Johan Jalal
dalam pada keghairahan orang buta merebahkan hutan
kalian kini berdiri meneruskan perjuangan pahlawan Seman Tahan
mempertahankan maruah megah sejarah pahlawan gagah
Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan bangkit
menentang penjajah dan khianat orang kuala penjarah
pencium kaki Tuan Kelipat
dan di Lubuk Terua inilah dulu laskar sepoi
bergelimpangan terapung hanyut.

Sudah pada sampai masanya kini
anak Lanchang kembali bangkit
dalam semangat buaya keramat Lubuk Terua,
Sungai Semantan yang berdaulat.
biarpun tujuh liang dadamu tersayat.

yassinsalleh
Jam 0609. Okt 31. 2012.
Lubuk Terua, Lanchang.
Copyright © 2012 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Sumber: Nyanyi Malam
              Himpunan Sajak Siber 2 yassinsalleh




Thursday, October 11, 2012




Allah Selamatkan
Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said,

Abangku, Wiraku,
Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said,
Selamat menyambut
Hari Ulangan Tahun Kelahiranmu yang ke 77.
Selamat melanjutkan perjuanganmu
menegakkan kebenaran tanpa undur
Selamat meneruskan pengorbananmu
penuh berani dalam badai laut orang-orang penakut
Selamat meredah lagi air asid dan gas pemedih mata
tanpa lagi hilang sepatumu kali ini
Selamat menerima gelaran ‘pengkhianat’
dari para bangsat Sang PENGKHIANAT laknat.
Selamat berarak lagi dalam Bersih 3.0
kerana bopeng wajah itu masih jua belum lagi bersih

Allah Selamatkan Kamu,
Allah Selamatkan Kamu,
Allah Selamatkan SN Samad Said
Allah Selamatkan Kamu duhai Abangku,
ASS, Wira bangsaku.

yassinsalleh
1717 hrs. April 9. 2012
La Cassa Pacificca De Yasleh


Wednesday, September 26, 2012


Aduhai! Alahai! Amboihai!

Orang kata hari ini
adalah Hari Kebangsaan.
Aku mohon maaf
hari ini aku datang ke sini tak mandi.
Maafkan aku kawan-kawan kalau kalian terhidu busuk ketiakku.
Kalau tercium hangit rambutku
lama tak di shampoo.
Hujan tak turun
di kampungku malam tadi.
Mana mungkin aku dapat mandi.
Aduhai!

Orang kata hari ini adalah sambutan Hari Kebangsaan.
Kalau kalian nampak pakaianku tidak cukup licin digosok.
Maafkanlah aku.
Bukan aku tak mahu pakai cantik memeriahkan perayaan ini.
Bukan aku tak mahu dilihat kemas dan bergaya segala
bagi menyambut ulang tahun kebangsaan sepenuh bangga.
Tapi malam tadi bajuku terbakar bila bara tempurung tertumpah
dari sterika arang yang tiba-tiba terbuka.
Tidak ada letrik di kampungku
Maka pakai sterika arang sajalah
macam zaman aku kecil-kecil dulu.
Alahai!

Mungkin kerana bau ketiakku yang tak sanggup kalian hidu.
Atau melihat komot pakaianku dan hangit rambutku tak bershampoo,
maka ramai kawan-kawan bagaikan tidak kenal aku
makanya dari tadi sejak sampai hingga kini
aku terasa bagaikan berada di bumi asing
ramai kalian yang terjeling-jeling
sampai mata naik juling.
Hei kawan-kawan
aku Musli Oli, aku anak Kota Belud, aku Putra Bajau
aku bukan Pin. Tidak, aku bukan Pin! Sungguh!

Orang kata hari ini adalah Hari Kebangsaan
Apakah yang hendak kita rayakan
Apakah yang mahu kita banggakan
Hutan yang rebah dan minyak yang tumpah
Atau status negeri termiskin dalam 1Malaysia?
Atau ramai-ramai kita merayakan mimpi ngeri
dalam gema salam janji-janji yang tidak ditepati.
Dan bermain teka-teki
siapakah yang menang dan kalah judi.
Siapakah yang paling banyak simpan duit
dalam bank di luar negeri.

Kalau esuk kita mahu terus begini
Maka kita pulanglah ke rumah sesudah ini
Sebagai kaldai tolol dan tongong
yang terus jua tuli dan bisu
sambil main anu yang koro
Sambil menunggu
hujan turun dari langit gurun.
Amboihai!

yassinsalleh
Jam 1453. Sept 14. 2012
La Cassa Pacifica De Yasleh
Copyright © 2012 yassinsalleh
All Rights Reserved.