Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh



Saturday, June 25, 2011

Atau Muka Anjing Pemburu Biawak.


Orang kaya peduli apa,
Walaupun beras RM57.75 sen sekilo
dia tak terjejas. Dia tak makan beras.

Orang miskin yang beri anaknya makan bubur
Kicap yang setahun dulu harganya RM3.80
yang kini dah berharga RM8.30 sebotol
merekalah yang melelas.

Orang yang naik mimbar ikut sedap mengata nista
minta satu cermin dari mereka yang kalian ampu
tenguklah wajah engkau,
muka orang ke atau muka orang-orang!
Muka manusia ke atau muka monyet
atau engkau bermuka beruang
atau muka anjing pemburu biawak.

yassinsalleh
1849. Jun 25. 2011
Pelangai, Manchis, Bentong, Pahang.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Friday, June 24, 2011

Kau Main Sajalah Buih Sabun Membasuh Anumu



Kerana otakmu cetek tak cukup selapis
dan ilmu tak lebih dari bacaan sebaris
tak usahlah cuba nak membicarakan
perihal yang banyak lapis,
berlapis-lapisan,
bertindih bertindan kotor dan bersihnya
 
Kerana selama ini engkau hidup
dalam tahu yang tak tahu
janganlah memperagakan
kedunguanmu yang amat bahlul
yang amat dogol, yang amat tolol.
 
Teruskanlah menggilap bulan dan bintang
dengan sajak-sajak buku lalimu itu
sambil membelai anumu yang koro.

Usap sajalah
telurmu yang sebelah kecil sebelah leper itu.
janganlah cuba-cuba nak jadi jurujual sabun
sedangkan pakaianmu sendiri sekujur tubuh
terlalu amat tidak bersih. Aduhai sedih.
 
Makanya,
Kau main sajalah buih sabun membasuh anumu.
 
yassinsalleh
1217 hrs. Jun 25. 2011
Kg Jerang, Durian Tipus,
Jelebu, Negeri Sembilan
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.








Sunday, June 19, 2011

Akademi Pelacur Kelas Satu Berhad



Esuk aku akan mendaftarkan
syarikat sendirian berhad di ROC
 
Sasaran ku:
Penyenaraiannya
di Bursa Saham Kuala Lumpur
dalam tempuh 17 bulan.
 
Nama Syarikat:
Akademi Pelacur Kelas Satu Berhad
 
Lembaga Pengarah:
Pengerusi Eksekutif.
Sang Fatwa Yang Itulah.
Presiden:
Dr Betina Apake Namanya itulah.
 
Kampus Utama : Choo Cheng Kay Mansion.
Kampus Cawangan: Jalan Alor, Bukit Bintang
 
Motto:
The Best Whore Studs Can Train.
 
Kitab  Wajib: Kamasutra
Slogan: Kuala Lumpur is Phuket!
 
Catch Words :
“Ayah saya sayang emak saya
 sebab emak saya Pelacur Kelas Satu!”
 
Iklan:
Dikehedaki Pelatih kePELACURAN.
Tidak perlu kelulusan akademik.
Kelayakan utama.
pANJANG. tAHAN, bESOR, pAKAR Makan mINUM.
 
Gaji Lumayan
Komisyen 25% Per Pax Trained
(macam Salleh Kamil misai kontot)          
 
Berbondong-bondonglah nanti
para isteri Mithali sayang laki
yang akan menjalani, ooops, menikmati
latihan makan dan minum kelasSATU kePELACURAN
demi rumah tangga bahagia.
 
Berduyun-duyunlah juga nanti
anak-anak gadis yang akan turut
bersama ibu-ibu dan nenek-nenek mereka
berlatih, ooops, mempelajari Skill & Style PELACUR KELAS SATU
sebagai persiapan untuk menambat hati suami bila kawin nanti.
 
Amboihai.
Akan kayarayalah aku nanti.
Terima kasih Kelab Isteri Tak Engkar Suami.
Tak payah beli toto lagilah aku nak buat filem.
 
yassinsalleh
0441  hrs. Jun 19. 2011
Le Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved




Wednesday, June 15, 2011

“Tak Teba-Teba.”




Sekadar memaklumkan.
Ayah demam.
Aduhai,
Macam manalah ya.

Kalau dulu-dulu,
boleh juga panggil bomoh.
Sekarang bomoh dah takde.
Orang dah tak percaya bomoh.
Takut kena kerat lapan belas.
Macam potong ayan masak gulai kenduri aruah jer.
 
Bomoh,
orang dah tak percaya.
Menteri pun orang dah tak percaya juga.

Tapi bila menteri datang
semua orang nak pula dengar dia bercakap.
Sampai bekwoh sembelih lembu, BBQ kambing lagi.
Hebat sungguh kemat sang menteri,
bawa kain batik kain pelikat berkodi-kodi.
 
Bawa apa lagi?
Ha, bawa hadiah duit masuk universiti.
Murah sungguh hati, mudah sungguh janji.
Satu Malaya nampak gambar dalam TV
Menteri dokong budak comot cium kat pipi air liur basi.

Orang-orang pun ramai-ramai suka,
ramai-ramai orang-orang pun sukalah nak percaya segalanya yang menteri kata.
Walaupun menteri cakap belit-belit macam serapah bomoh jugak.
 
Ayah demam sangat-sangat.
Bomoh dah takde.
Orang dah tak percaya serapah mentera.
 
Nak tandu ayah pergi sepital jauh amat-amat.
Teksi pulak tak boleh masuk kampung,
jembatan nak runtuh,
tak boleh lalu dah.
 
Masa orang-orang suka ramai-ramai dengar
cakap Menteri cium pipi air liur basi budak comot dulu,
jembatan itu dijanjikan tukar baru.
 
Dah bertahun janji.
Tak tukar-tukar juga lagi.
Bak kata orang Kampung Raja,
Si Sang Menteri berJanji itu
“Tak teba-teba.”
 Ayahku demam sangat-sangat.
 
yassinsalleh
0356 hrs. Jun16. 2011
Alur Tebing Semantan.
Temerloh. Pahang.
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved




Tuesday, June 14, 2011

Sajak Terakhir Yang Along Bacakan Pada Mummy



Mummy sayang,
Malam tadi Abang tanya,
“Kenapa Mummy tak bangun tidur?
Abang nak Mummy pulang rumah.”

Tadi masa makan, Abang kata,
“Abang nak makan Mummy masak.
Abang nak Mummy ada sampai Abang besar.
Bila Mummy nak balik rumah, Daddy?”

Aduhai.

Mummy sayang, bangunlah,
Daddy tak dapat menahan
airmata gugur dengar Abang,
Susu Lemok Manih Mummy
cakap macam tu.

Mummy bangunlah.
Lama benar dah Mummy tidur tu.

yassinsalleh
1050 hrs Nov 4. 2010
Katil 17, Wad 7B,
Hospital Serdang.
Copyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved.


Monday, June 13, 2011


Kalau takut pembaca tak faham, jangan tulis sajak, ...tulislah rencana untuk tabloid mingguan.

Kalau takut pembaca tak jelas, jangan tulis sajak, tulislah berita di akhbar arus perdana yang turut disertakan gambar peristiwa.

Kalau takut pembaca tidak cukup dibantu dengan penerangan yang terperinci, jangan tulis sajak, tulislah manual panduan mengguna, siap dengan gambar rajahnya lagi.

Kalau tak tahu apa itu metafora, personafikasi dan rhima, janganlah nak jadi penyair, jadi sajalah petisyen writer, duduk bawah payung di tepi pokok, di bahu lorong tepi longkang pejabat-pejabat tanah, jpj atau kebajikan masyarakat atau rumah bicara tangkap khalwat atau kompleks studio kilang ponografi politik.

Kalau mahu jadi penyair, jangan syok sendiri, bergurulah dahulu, sekurang-kurangnya selama tujuh tahun, sekurang-kurangnya membaca tujuh ribu sajak karya sekurang-kurangnya tujuh puluh penyair-penyair besar dunia.

Sajak tidak semudah menuliskan 'heppi besday' dalam teks SMS. Sajak lebih dari itu. -- yassinsalleh

Tseni Sastrowardoyo JANGAN JADI YANG TAK JADI

jangan jadi semalu, kalau malu menusuk duri
jangan jadi lalang, kalau enggan lenggok diri
jangan jadi kumbang, kalau enggan terbang berbunyi
jangan jadi tong, kalau kosong tak mahu berisi
jangan jadi pinggan, kalau sekadar mahu telungkup
jangan jadi sudu, andai sekadar kenal kuah
jangan jadi tangkai, andai tak kenal buah
jangan jadi lelaki, andai gigi lebih lembut dari gusi
jangan jadi perempuan, kalau tak kenal ampaian
jangan jadi anak, kalau ibuayah dilupakan
jangan jadi pewaris, kalau tak kenal makna pusaka
jangan jadi imam, kalau doa tak reti nak baca
jangan jadi menteri, kalau duit negeri habis dihambur
jangan jadi rakyat, andai undi diberi kerana sehelai kain pelikat
jangan jadi penyair, kalau enggan ditegur
jangan jadi komentar, kalau komen di luar ruang.

jadilah kambing, kambing tak mahu berbahasa lembu
jadilah ayam, tak mahu dia di ajar berenang
jadilah bendul, sesekali dapat juga mencium dahi
jadilah selipar, kena pijak tetap juga melindung kaki
jadilah saputangan, kena hingus masih juga di basuh di simpan
jadilah bantal, tetap gebu meski berkali kena lempar
jadilah penyapu, tersudut di celah bersih di kemas
jadilah kelapa, tetap berguna meski dah jadi hampas
jadilah titi, sampai patah tetap berbudi
jadilah tongkat, jadi penegak teguh berdiri
jadilah rakyat, bukan budak yang boleh di beli
jadilah penguasa, yang cinta bangsa sendiri
jadilah pucuk, yang ingat akar menunjang bumi
jadilah beruk, yang ingat turun bila di rentap tali.

~tseni sastrowardoyo.// 14062011.// 1252pagi
puncak alam.

Jangan Biarkan Lentera Ini Padam



Mikael,
jangan biarkan lentera ini padam,
Akif.

Dina,
suluhlah arah kembara kalian
dan
denai semalam atuk ada terpeta
di kakinya lentera itu.

Abang,
bila bintang-bintang dan bulan hilang
suluhlah rimba malammu
bakarlah sumbu lenteramu itu
teruskanlah kembara Daddy jika tertangguh.

yassinsalleh
1211 hrs. Mach 14. 2011
Le Cassa Pacifica De Yaslehs
Kuala Lumpur
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Menanti Tirai Senja



Remajaku dulu
aku suka sangat mendengar sahabat ku bercakap.
Kata-katanya tersusun indah bertamsil beribarat
seringan manapun perkara yang diperkatakannya
terasa berat dan dalam maksudnya

Pada kala tertentu
kedengaran bagaikan pujangga
menggurindamkan kecendekiaan pendita
dia bermadah.
Aduhai indahnyalah suasana
bila dia berseloka
senyumannya menambah seri
wajahnya yang amat terampil
dan dia kelihatan amat dignified

Kami sudah lama terpisah
dan dia tidak pernah tahu
bahawa aku banyak berguru darinya

Dia dah macam aku juga
dah tua kini
bagaikan aku jua
dia kini sedang bermain senja sambil menanti
tirai malam membuka pentas AKHIR

Makanya,
sebelum bermula citera
pentas AKHIRnya kami
aku rentas Titiwangsa
berlari membawakan nyanyi pilu
simfoniSEPIku
kepadamu
Abangku, Sifuku
Hashim Zabidi
Dalam perjalananku menuju dakapanmu
kini aku Hashim

yassinsalleh
18 Mac 2011
Merentas Titiwangsa
Dalam Perjalanan Ke Taman Senja
Abangku Hashim Zabidi.

Omar Khayam berpesan


Omar Khayam berpesan
“Bersahabatlah dengan orang dari keturunan baik-baik”
Apakah takrifnya
orang dari keturunan baik-baik, itu?
Kaya Raya? Penguasa? Berkuasa?
Atau
beriman, bertakwa, berjiwa mulia, berhati mulia?
Pelakon drama swasta, penerbit wayang panggung untuk Astro First?
Atau
Pelakon porno dan Penerbit pornografi tak perlu lesen tayang
Editors dan Reporters Harian dan Blogs dan bloggers  Netizens?
Atau
orang tua kampung  yang tergaru-garu kepala tak faham apa orang cakap
tapi, tiba-tiba pandai pula jadi burung belatuk.
Menebuk-nebuk  pokok-pokok dengan rentak irama maestro Perbelatukan.

Bodohnyalah Melayu.
Aduhai, alahai, amboihai!
Niama Ka Hai.

yassinsalleh
1629 hrs. Mei  13. 2011
Ponson, Manchis, Bentong.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Wednesday, May 18, 2011

Gemersik Muzik simfoniSEPI



Mummy sayang,
hari demi hari,
kian bertambah lama Mummy pergi
kian itulah pula bertambah pedihnya sayu.

Bergetar di talian biola pilu,
berdebar di dada rebana paluan rindu.

Setiap malam
pada sampai bulan lelah,
setiap fajar
yang menangguhkan tiba
dalam genta muzik luka
aku berlagu tanpa nyanyi
kerana suaraku hilang entah ke mana sembunyi.

Tapi aku tahu
di kaki tirai pentas Mummy ada di situ
mendengarkan nyanyi qalbuku nestapa
dalam gemersik muzik simfoniSEPI.

yassinsalleh
0240 hrs. Mach 3. 2011
Le Cassa Pacifica De Yasleh
Kuala Lumpur

Coppyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved

Rapsodi Simfoni Nestapa Ini


Memujuk belas hati nan hiba
akankah awan merenjis gerimis
meniti pelangi ke hujung mimpi
di kaki matari yang rebah pagi.

angin bertiup lalu
kusut rambut menutup wajah
terubatkah rindu terleraikah pilu
dalam pedih menanti
salam tak tiba khabar tak sampai
serindit pula terbang hilang entah ke mana.
aduhai!

palingkanlah wajahmu ke arahku
hentikanlah tangisanmu
peganglah erat tanganku
mari kita terapung menari ke awan tinggi
kita cari fatamorgana
kita tinggalkan
rapsodi simfoni nestapa ini.

yassinsalleh
0505 hrs Jan 29. 10
sanggar simfoniRINDU
Coppyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved

Satu Lepas Satu Wajah Itu Hilang


Nak duduk tak selesa.
Nak baring takut terlena,
malam karang susah pula nak tidur.
Nak berjalan kaki sakit
Nak makan tekak loya.
Nak mancing ikan tak makan.
Nak pergi pekan takut tak dapat pulang.
Nak berubat cuma ada sirih pinang.
Nak membaca yang ada hanya surat khabar lama
penuh iklan barang mahal-mahal
rumah berjuta kereta ratus-ratus ribu.
Nak tunggu bas sekian lama sudah
tak pernah siapapun turun.

Makanya
aku hitunglah wajah kawan-kawan
yang aku bariskan di atas padang kenangan.
Tapi, satu lepas satu
wajah itu hilang.

Terasa pula aku
macam akhirnya lagu
Sepuluh Budak Hitam
“...satu budak hitam
sangat susah hati
tak mahu makan
langsung dia mati.”

yassinsalleh
1743 hrs. Feb 19. 11
Ponson, Manchis, Bentong
Coppyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Beranikah Buntal Menggigit Celah Pehaku.




Sungai semantan,
jernih dingin airmu dulu
yang dimerahkan Mat Kilau dan Bahaman
dengan darah Sepoi seldadu penjajah sahabat penjarah.
kini keruh mengalirkan lumpur hakisan rimba
yang sudah tinggal belukar di mana unggasnya cumalah
gagak-gagak kota mencari bangkai biawak dibelit sawa.

Kuala Semantan,
jernih dingin airmu dulu
sambut bersambut dengan aliran amarah Lubuk Kawah
menghilir Sungai Pahang
yang terbenam sejarahnya di muara.

Walaupun quran direndam, airnya diminum bersama,
sumpah setia pahlawan dan dewata
tak pernah terkotakan ,
tak pernah dikatakan,
tak pernah siapa diberitahukan
betapa pahlawan
dinobatkan penderhaka, khianat jadi mulia.

Kuala Semantan,
malam ini aku nak mandi telanjang
dalam airmu yang keruh itu
tenguklah, beranikah buntal
menggigit celah pehaku.

yassinsalleh
1036 hrs. Julai 22. 10
La Cassa Pacifica De Yaslehs.
Coppyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved

Dua sajak yassinsalleh dalam Media Rakyat

Yang Tak Mahu Dipujuk


Aku sudah bagi tau matahari
esuk mesti terbit tepat waktu
kat awan pun aku dah cakap
jangan kacau sinar matahari
aku nak lihat serindit menyanyi
aku nak lihat kumbang hinggap
dari kuntum ke kuntum
aku nak lihat ikan-ikan bermain sejelas-jelasnya
sebelum mengucapkan selamat tinggal
sebab sebelum senja menghampar malam
aku nak pulang semula ke kota menggali perigi
anak-anak nak mandi
memasang pelita
rumah dah kegelapan
Aduhai!

Dan pada bulan aku dah ingatkan
jangan mengada-ngada
bersenda rindu dengan pungguk di kota pula
cukuplah harapan mati di sini
dibawa semalam
yang tak mahu dipujuk
Alahai!

yassinsalleh
2304 hrs, Nov 20. 09
Kg Ponson, Manchis, Bentong.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Monday, May 9, 2011

Yang Dia Tak Tahupun



Kalau kampung terasa sunyi sepi,
kalau jalan kampung berlubang berlopak,
kalau jambatan dah nak runtuh,
kalau surau dah nak roboh,
kalau rumah nenek tua dah nak tumbang,
jangan dibimbangkan, usah dirisaukan.
tunggu sajalah wakil rakyatnya mati
atau
masuk jel
atau
ditangkap khalwat.

Dan kampung itu
tak akan sunyi sepi lagi.
ramai orang dan orang-orang baik hati
tiba-tiba datang..
banyak orang-orang dan orang berbudi
tiba-tiba bertandang.

Tak payahlah lagi curi-curi beli toto, beli ekor.
Beratus ribu macam beras kunyit nanti ditabur-tabur
Berjuta-juta pula dijanjikan mimpi dijamin jadi nyata.

Si Nenek tua nanti tiba-tiba terasa
macam dia dah jadi bintang filem
berlakon drama swasta bersirilah pulak.
Sukanyalah dia tenguk gambarnya dalam TV.

Dia tersengih takde gigi,
tangannya dicium menteri yang rendah hati
yang tinggi hemah dan budi.
Si Nenek tua itupun menadah tangan
memanjatkanlah kesyukuran
atas kematian wakil rakyatnya
yang dia tak tahupun
siapa orangnya.

yassinsalleh
2040 hrs. Feb 23. 11
Ponson, Manchis, Bentong
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved


Saturday, May 7, 2011

Solamat Hari Ibu Omak


Omak,
Somalam Hari Ibu
Hari ini, esuknya hari ibu, semalam itu.
Solamat Hari Ibu Omak. Doakan den, rostuilah den.

Ampunkan den Omak,
Hari Ibu tahun ini, den tak dapek moncium tangan Omak.
Den tak dapek makan gulai asam podeh keladi Omak masak.

Den banyak bonar kojo di GSW ni omak.

Kok den tak balik nenguk Omak,
ada boboleh anak-anak manjo Omak yang lain
ngoliling Omak, nyikekkan rambut Omak,
micitkan kaki omak, masakkan lasagne kek Omak
bolikan pizza, bancuhkan fruit punch kek Omak.
Yang takdo si debot omak ni jolah sorang yang tak pulang.
Yolah omak, takdo capo yang nak nompangkan den naik keto.
Solamat Hari Ibu Omak. Den sayang Omak.  
Den tahu, Omak  senteso doakan den. Timo kasih Omak.

Den bukan apo Omak, den kono togak di GSW ni.
Kek sini
den ngajar G2
macam mano nak jadi Melayu.
Kek sini den ngajar cucu-cucu
buek poto jalan malam
buek panduan moncari puncak air moleleh
tanah somonanjung bondo portiwi tanah air kito
yang dah lamo dipokoso dek orang
yang dah lamo dijual lambak
dek buapak lombago kek kaki limo sojarah

Aduhai Ibu Pertiwi
Bilakah pula anak-anakmu akan mengucapkan
Selamat Hari Ibu Pertiwi?
Alahai!

yassinsalleh
1317 hrs. Mei 8. 2011
Laman Pendita GSW,
Kuantan.
Copy right © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Monday, April 11, 2011

Baiknya Budi Cicit Si Randang


Baik budi emak si Randang
dagang lalu ditanakkan,
tiada berkayu rumah diruntuhkan,
anak pulang kelaparan,
anak dipangku diletakkan
kera di hutan disusui.

Tingginya hemah cicit si Randang,
memohon ampun bila tak salah
berlutut merungkai hikayat cedekia,
hati dagang jangan tergoris,
kitab  diunggun menghiris wajah,
buang amarah jangan bicara,
mulut dan lidah jangan berkata
buat penyedut anu yang koro.

Baiknya budi cicit si Randang
Rebahkan padi tegakkan lalang
Membaja dedalu menginjak cucu.
Aduhai, alahai, amboi.

yassinsalleh
2103 hrs. April 11. 11
Le Casa Pacifica De Yaslehs,
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Wednesday, April 6, 2011

Happy Birthday Mummy


Mummy sayang,
Hari ini
Birthday Mummy.

Cempaka di kaki awan,
gerimis di kuburan.
Kelopak kemboja berguguran
menudungi kaki nisan
taman istirehatmu Mummy sayang.

Luka sayap balam
duka rambut malam.
Bilakan terlerai nestapaku ini?
Aduhai.

Pedihnya sayu, perihnya pilu,
sengsaranya lah rindu,
satu, satu aku lagukan tanpa nyanyi
kerana suaraku hilang entah ke mana sembunyi.
Alahai.

Happy Birthday Mummy.

Yassinsalleh
1230 hrs. April 6. 2011
Di taman istirehat Mummy
Di hari ulang tahun kelahiran Mummy,
Kali pertama aku nyanyikan
Happy Birthday Mummmy
Tanpa kelihatan senyuman Mummy
yang sembunyi