Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh


Tuesday, November 29, 2011

Di Pucuk Meranti , Sang Tupai Tertawa Ngeri



Wau Bulan
melayang tinggi di langit biru.
Menyelinap terbang dari awan ke awan.
Pun sayup tinggi menari-nari,
layang-layang megah itu masih jua
dipegang talinya
di rumput hijau belum bertebas
dipadang lepas, di bendang luas.

Kalaulah tali itu terputus
atau terlepas kerana jari melelas
atau bila angin tiba-tiba jadi malas
wau itu akan melayang jatuh
ke tanah basah, ke lembah rendah
di mana belalang dan merbah
resah dan gundah.
Gelisah.

Melayang-layang, terlayang-layang,
jauh jatuh layang-layang  
ke tepi longkang.

Terdampar
ke sarang musang
bila siang melarik petang
bila rembang melintas malam.
Terkapar
di awan merah kaki langit lelah.

Dan
di pucuk meranti
Sang Tupai tertawa ngeri
di tempat jatuhnya
yang kian jua dipertinggi.

yassinsalleh
1100 hrs. Nov 30. 11.
La Cassa Pacifica D Yasleh.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.


Saturday, November 26, 2011

Maal Hijrah 1433


Di Maal Hijrah yang baru ini,
bersamalah,
Kita kukuhkan azam keimanan yang jitu,
Kita teguhkan iltizam ketakwaan yang padu.
Kita runtuhkan tinggi menara nafsu nafsi.
Kita rebahkan junjung haloba dalam diri.
Kita tebang pohon tinggi bongkak riak panji-panji

Dan
kita pahatkan
di dinding kamar tidur pelamin mimpi,
Sabda Nabi:
“Tidak beriman orang itu bagi aku,
kalau ia boleh tidur nyenyak, sedangkan
ia tahu bahawa jirannya sedang kebuluran.”

Selamat Merayakan Maal Hijrah 1433.
Semoga Allah memberi kita keperkasaan
dalam menegakkan makruf
dan menolak mungkar.
Allahuakbar.

yassinsalleh
1119 hrs 1 Muharram 1433
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved



Thursday, November 24, 2011

Hikayat Malam Malang Pak Kaduk


Antara kelap kelip kunang-kunang
dan
kerdipan
bintang-bintang,
Kita surahkan
Hikayat Malam Malang Pak Kaduk.
Kisah orang besar orang kecil.
Ceritera orang mulia orang hina
Perihal orang baik orang jahat.
Citra orang berhati orang berbudi, 

Ukuran
sejauh mana panjangnya
perjalanan usia seseorang manusia
membuka jalan lebar,
membina tembuk besar,
melengkar duri pagar,
mengepung kepuk padi
nurani dan budi.

Neraca
dosa vs pahala
account balance
imbangan yang dibawa ke akhirat.

Demikianlah
epilog malang Pak Kaduk
senarai nama yang baik-baik
barisan nama yang jahat-jahat
rahai runduk
terjelepuk
tepuk.

yassinsalleh
2202 hrs. Nov 23. 11
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.


Monday, November 21, 2011

Gulai Kawah Lembu Kondo NFC


Nak makan ayam goreng pergilah KFC.
Resipi Colonel Sanders
It is Finger Licking Good.
Nak makan gulai tempoyak ikan patin
pergilah Kuala Semantan
Bapoklah Sedaknya.

Tapi
Kalau terasa nak makan
sirloin steak lembu Jepun
harganya mahal terlalu
Lembu Jepun manja
dipicit-picit
diurut-urut
diberi pula minum samsu
makanya,
Lembu Jepun mahal gitu
Tapi,
lembu  di sini lagilah manjanya.
Duduk di kondo,
gembalanya pergi umrah lagi, hebat gitu!
Nak tahu berapa harga
semangkuk gulai kawah
lembu kondo itu
pergilah makan di NFC.

yassinsalleh
1139 hrs. Nov 22. 11
LaCassa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Wednesday, November 16, 2011

Nak Beranganpun Tak Boleh Jugak.



Petang,
beratur beli nombor
di kedai toto.

Malam,
sepanjangnya terapung-apung
di taman khayal,
berangan kena 40 juta.

Pertama,
pasang tujuh body guards.
Kedua,
beli tujuh Mercedes,
lima BMW
dan
tiga buah basikal sorong.
Ketiga,
beli tujuh bungalows,
empat kondo buat tempat
para lembu nak berehat
dan bercalat.
Keempat,
Buat open house
panggang tujuh biri-biri
gulai kawah seekor lembu kasi.
Kelima,
Beli tujuh gudang simpan stock Viagra.
Keenam,
cari bini orang cantik-cantik,
tapi jangan pendek dan cerdik
suruh pasah, ajak kahwin.
Tak payah susah-susah nak fikir
tupai mana yang dah tebuk
kalau kahwin anak dara.
Ketujuh,
Dan macam-macam lagi nikmat berangan.
Tapi, aduhai, nak berangan macam mana,
Takdepun duit nak beli toto.

Kedelapan,
Payah sungguh hidup ni.
Nak merasa betul-betul dahlah tak boleh
Nak beranganpun tak boleh jugak.

yassinsalleh
1348 hrs. Nov 16. 11
La Cassa Pacifica D’ Yasleh
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.



Friday, November 11, 2011

Aku Nak Jadi Gembala Lembu



Kalaulah tidak ada agihan daging qorban
tak merasalah anak aku makan gulai daging,
Nak beli daging dah mahal sangat.

Bila anak tanya kenapa tak beli daging
buat rendang raya
aku kata
“Makan daging lembu
nanti jadi bodoh macam lembu.”

“Tapi ayah,
orang bela lembu tak bodoh pula, ya.
Dia beli kondominium sepuluh juta.
Cerdiknya dia kan.”

“Bukannya dia cerdik, sayang.
Dia boleh begitu
sebab Melayu semuanya bodoh macam lembu”

Esuk aku nak pindah balik kampung
Aku nak jadi Mat Jenin ambil upah panjat kelapa,
Tapi aku taknak berangan kahwin puteri raja
Aku nak kahwin anak Mamak Bendahara,
Aku nak jadi gembala lembu
Aku nak beli tiga kondo sepuluh juta 
Satu bagi anak-anak duduk
Satu bagi Hang Lipo duduk
Satu lagi tempat Memanda
nak berkasih dengan amahnya.

yassinsalleh
0348 hrs. Nov 12.
La Cassa Pacifica D Yasleh.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Right Reserved




Sunday, November 6, 2011

Mummy Istirehatlah Tenteram



Mummy Sayang.
Hari ini genap setahun
Mummy pulang ke Rahmatullah.

Tiga puluh lima tahun
kita berkongsi bahagia,
berbahagi nestapa.
Satu tempuh waktu
yang menguji erti setia,
yang menduga nilai cinta,
keramat dan abadi.

Dalam pada kita
saling tidak sempurna,
telah seadanya kita bentuk
kesempurnaan percintaan
tanpa tamak,
tanpa haloba, tanpa darjat
tanpa nama.
Alhamdulillah.

Sementara menunggu Daddy juga pulang,
Mummy istirehatlah tenteram dalam harum
bunga rampai
yang ditaburkan oleh anak-anak kita tercinta.
Al Fatihah.

yassinsalleh
1248 hrs. Nov 5. 11
Di Pusara Mummy,
Tanah Perkuburan Pengkalan Balai,
Chenor, Temerloh.
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved


Thursday, November 3, 2011

Menghantar Salam Semalam.


Awan arca langit,
pelangi di jari gerimis
titilah rindu sebelasnya.

Bila bulan dimalapkan
dan matari terendam
dalam tangisan langit
awan luruh
di bumi luluh
arca jatuh tersimpuh.

Awan, langit, bumi dan rumput-rumput
gunung, pohon, pelangi dan biru langit
lembayung
rambut alam
ukiran simfoni tanpa nyanyi.
Genta benua
menghantar salam semalam.

yassinsalleh
1041 hrs. ogos 9. 10
rumah tanpa nombor,
taman tak bernama.
Kuala Lumpur.
Copyrights © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Bertuahnyalah Tanah Orang Tak Bermata



Hebatnyalah seniman versetail itu
mempesona khalayaknya.
Dia penyair tersohor.
Dia dramatis masyhur.
Dia pemuzik hebat.
Dia penerbit drama swasta ternama.
Dia sutradara teater tanpa tandingnya.
Dia aktor filem, tv dan pentas berjenama.
Juruhebah pun tak siapa lebih terror darinya.

Demikian dia menafirikan diri.
Begitu diterompetkannya
keserba-hebatan, keserba-senimanan
dirinya yang berkerserbaan segala.

Bertuahnyalah tanah orang tak bermata
dirajai oleh Si Dogol sebelah mata
yang amat takjub menikmati suaranya sendiri
sambil terpesona melihat wajahnya
di cermin kedai jual garam jual belacan.
Amboihai!

yassinsalleh
1417 hrs. Okt 14. 11.
La Cassa Pacifica D Yasleh
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Tuesday, November 1, 2011

Telur Hilang Satu.



Pok amai-amai belalang kupu-kupu
Tepuk ramai-ramai kita seronok jadi lembu
Lembu cucuk hidung heret sana sini
Keluar masuk kampong telur kena kasi.

Pok amai amai kita lembu kasi
Tanduk patah satu kaki tak berkuku
Pok amai amai belalang tunduk malu
Melayu ramai ramai telur hilang satu.
Pok amai amai apa sudah jadi
Melayu ramai ramai makan nasi basi.

yassinsalleh
1153 hrs. Okt 18. 11
Jalan Seremban K. Pilah
dalam perjalanan ke Terachi
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved