Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh


Wednesday, April 16, 2014

Belasungkawa untuk Karpal Singh, Harimau Jelutung Terbilang



Karpal Singh
Penegak keadilan berani sudah pergi
Hilangmu tak kembali lagi ke sini
Adalah kehilangan satu tangan lagi
Pengibar
Panji-panji perjuangan kebebasan demokrasi
Pulangmu nan tragis ke alam abadi
Adalah hilang satu genggaman lagi
Penjulang
Lentera benderang penyuluh lorong perjuangan
Karpal Singh, Harimau Jelutung terbilang
namamu akan selamanya abadi dalam kenangan
bersama semangatmu di hembusan angin zaman.
Tenteramlah engkau di sana, hendaknya, pahlawan.

yassinsalleh
1105 hrs. 17.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rghts Reserved

Di Sini Pula Aku Sekarang


Hospital tempat menangguhkan mati
Tempat melembutkan kerasnya sakit
Tempat mengeraskan lemahnya hati
Tempat memujuk belasnya luluh di hati.

Tempat orang sakit main sorok-sorok
Dengan jadual tamat tempoh
Tempat pengutip nyawa main kejar-kejar
Dengan senarai yang masih tertangguh.

Tempat eksperimen doa dan bunga
Di atas meja di sisi katil berangka
Tempat kelakar
siapa yang akan makan buah-buahan
yang dibawakan
atau yang membawakan
atau jatuh bersepah di lantai yang basah
dengan air mata luluh duka yang tumpah.

Hospital Serdang
Ke sini Mummy ku bawa datang
Di sini sudahnya Mummy pulang sorang
Di sini pula aku sekarang            
meneka bilakah senja membuka pintu malam
atau mencari nyanyi tempuan menganyam sarang.

yassinsalleh
0825 hrs. 16.4.14.
Hospital Serdang
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved.



Sunday, April 13, 2014

Barisan Penyair di Rumah SN Dato’ Baha Zain.


Barisan penyair, SN Dato' Baha Zain, SN Prof Dr Muhammad Haji Salleh, Raja Ahmad Aminullah, Zainal Abas @ Kasajiza A.S., yassinsalleh, SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan, di rumah SN Dato’ Baha Zain.
Foto :
Yasleh Khaliff Amri

Friday, April 11, 2014

Rambut Menutup Wajah - ATONDRA

Bicara Karya Penyair 3 - Mengimbau Jasa ATONDRA

Sabtu 3.5.14. 2.00 pm. di kediaman Dato' Atondra
No 117, Jalan SS 5/1, Kelana Jaya, Selangor DE.
Host : Datuk Johan Jaaffar.
Foto : Yasleh Khaliff Amri


Friday, April 4, 2014

Dia Hilang Berani


Bertahun tahun dia kembara di gurun
mencari rama-rama di rumpun kaktus
kakinya tak bersepatu menari dibara kerikil
makannya umbut kaktus minumnya embun di pasir

Rama-rama  yang sekian lama dicari
tiba-tiba terjumpa menari-nari di tasik
menguliti bunga air yang amat cantik

Mana mungkin dia berani turun ke air
setelah sekian lama kembara di pasir
aku tahu betapa dia hilang berani
kerana pengembara gurun itu
sebenarnya,
adalah aku.

yassinsalleh
0104 hrs. 5.4.14.
La Casa Pacifica D Yasleh.
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Thursday, April 3, 2014

Daun-daun Di Hujung Malam


Seorang lepas seorang
sahabat kita seniman sastera
tukang seni kata-kata
kembali ke rahmatullah.
innalillahi wainna ilahi rojiun,
al fatihah kita untuk mereka
Nahmar Jamil, Sahlan Mohd Saman
Jamaluddin D.
kita doakan semoga roh mereka
ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Senja sudah angkatan sezaman
satu demi satu kita bagaikan
daun-daun di hujung malam
gugur ke pangkal kemboja
yang tinggal cuma lapisan kertas
rakaman falsafah cendekia
dan nyanyi anak merdeka yang tak sampai.
Aduhai.

yassinsalleh
0234 hrs. 4.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved..

Thursday, March 27, 2014

Bagaikan Biasa


Bila ada bunga cantik menarik asyik
ranum harum menguntum senyum
gemalai menari di nyanyian angin
bagaikan biasa
tak siapa yang tidak akan suka
meraikan betapa dia bagaikan lukisan
di galeri pameran
lebih amat mempesona
bila ditandakan bulatan merah NFS
bagaikan tulisan di pagar taman
Dilarang Memetik Bunga.
Atau,
kalau tak mahu disuka
terus sajalah berbaring dalam kelambu.

yassinsalleh
0943 hrs. 28.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Sunday, March 23, 2014

Di hujung Pelangikah


Dalam sinar bulan suram
dalam sepi daerah sunyi
di hujung pelangikah
atau di kaki matari lelah
akan kita menari
dengan kaki tertusuk duri
rebahkah resah di jendela mimpi?

yassinsalleh
0630 hrs. 24.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh

All Rights Reserved.

DBP Rumah Gadang Melayu


Tingkat Empat DBP asal
lantai keramat tempat berdarjat
di situ semangat ASAS 50 memanjat
membumbung menunjang akar
mekar dan segar
sangsailah lautan perjuangan bakolilieng.

Keris Mas, Awam Al Serkam,  Usman Awang
Wijaya Mala, Abdullah Hussin
bersawah bendang bertapak semaian
Yahaya Ismail, Noor Azam, Salleh Daud,
Baha Zain, Kemala, Johan Jaafar
melanjutkan gemilang erti perjuangan.

Sudut Penulis dan Badan Budaya
laman penyair belajar gurindam
kolam anak teater belajar mandi.
DBP
Rumah gadang Melayu
di situlah
aku berpundung
setiap hujung minggu
 membancuhkan kopi
meniupkan seruling batang padi
untuk para mahaguru
sasterawan agung Melayu.

yassinsalleh
1043. hrs. 24.3.14.
Lalu tepi DBP
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Wednesday, March 12, 2014

Ke Tasik Permai Itu



Engkau kah itu
yang luka
yang duka yang nestapa.

Nanti malam
aku datang bersama kunang-kunang
agar kelip-kelip cahaya itu
bersama mentera nyanyi qalbu
akan dapat mengubat lukamu itu.

Belibis
temankanlah dia dahulu
sehingga datangnya aku.
ke tasik permai itu.

yassinsalleh
1031 hrs. 13.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved

Dan Mengundang Asyik



Kalau kau sepi  di tasik itu
akan ku pinta
belibis datang menemanimu
kerana untuk aku datang sendiri ke situ
sayapku tak seindah belibis nan cantik itu.

Duhai bunga tasik
tahulah
kau amat cantik.
dan mengundang asyik.

yassinsalleh
1204 hrs. 13.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved

Tuesday, March 11, 2014

Getik Aku



Banyak sangat perkaranya
banyak sangat halnya
banyak sangat bendanya
perkara besar, hal lebar, benda berlengkar.

Tapi takut nak cakap
takut nanti ada orang marah
takut nanti ada orang geram
takut nanti ada orang meragam
takut nanti ada orang berdendam
takut nanti manis gula akan jadi masin garam.

Ramainyalah,
walaupun hati kata Iya
Iya, iya, iya,
tapi mulut kata Tidak
tidak, tidak, tidak,
TIDAK!

Maka berbicaralah mereka
dalam bahasa yang berbelit-belit
menganjak tradisi hukum
yang cuba membasuh dosa
Si Anunya yang koro
dalam gempita nestapa
masyarakat burung unta
membenamkan kepala mereka
ke dalam pasir sarat lendir.

Getik aku melihat
betapa tamadun tundun
dan anu jantan yang dah betina.
Lama dah!

yassinsalleh
1207 hrs. 11.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh.
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved.



Sunday, February 9, 2014

Allah SWT Tahu Ini.


Matahari
bila orang tanya
aku takut nak mengaku kita kawan
nanti malu pulak engkau.
jadi aku tidaklah dapat
nak memuji engkau.

Aku katakanlah
aku berkawan dengan bulan saja.
Apapun juga
terima kasihku dalam hati
kerana sinarmu
yang selama ini
memberiku cahaya
setiap kali bulan sembunyi
dan bintang-bintang tak peduli.
Allah SWT tahu ini.

yassinsalleh
1218 hrs.  10.2.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Friday, January 24, 2014

Sudah Tidak Punya Apa-Apa.


-- buat Kakangku SSZ Ismas Saring.


Penyair tua dan pelukis remaja
berpadu di atas kenvas sebidang
di lantai galeri sekujur petang
dalam adunan warna kata-kata
dalam lantunan tri-v mempesona
dalam imbauan Jambatan Kota
Kontal Kantil berbicara dan bertanya
apakah penyair tua itu
akan terus jua sendirian
mengutip botolnya
dari lorong ke lorong
sambil dia mendongak ke langit
mencari-cari hujung pelangi
dalam kepulan asap cerutunya.

Wak Saring,

tiada lagi sudah
lenggang gadis di Jambatan Kota
kerana dia juga
sudah tidak punya apa-apa

yassinsalleh
1657 hrs. 23.1.14.
Galeri Shah Alam.
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Tuesday, December 10, 2013

Banjir Besar Nestapa Lebar



Wang Besar
Cek Lebar
Orang Besar berdegar-degar.
Wang Besar
Cek Lebar
Tanda Ringgit menjerit-jerit.
Wang Besar
Cek Lebar
Banjir Besar
Nestapa Lebar
pelarian banjir tak bergebar
terketar-ketar menahan lapar.

yassinsalleh
0919 hrs. 11. 12. 13.
La Casa Pacifica D Yasleh

All Rights Reserved

11. 12. 13.



11. 12. 13.
Cantiknya tarikh ini tersusun
Bagaikan terlerai  rindu seabad terhimpun.
Mencatat pedihnya lapar banjir.
Merakam
budi dan badi
penerima dan pemberi
berebutan hati
dalam gigilnya sejuk banjir ini.

yassinsalleh
0710 hrs. 11. 12. 13.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved

Monday, November 11, 2013

Komradku Suhaimi. Al Fatihah.



LubukKawah
hari ini seorang lagi
putramu
Pahlawan Rakyat berani
Kembali ke Rahmatullah
Pada jam 6.06 petang
Tanggal 1 Muharram 1435
Suhaimi Said pulang
Ke Alam Abadi
dengan mewariskan
Semangat LubukKawah
Kepada sesipa yang
memilih
Untuk tidak mahu hidup
Jadi ayam jadi lembu
Di bumi pesaka
yang masih belum lepas
bebas

Komradku Suhaimi
Al Fatihah.

yassinsalleh
Nov 5. 13
HOSHAS Temerloh

Tuesday, October 15, 2013

Mummy Sayang



Daddy datang kali ini
sekadarkan mampu untuk tidak lagi menangis
dalam pilu aku memanjatkan doa dan Al Fatihah.
Selainnya,
hanya ada sajak duka
yang mampu ku baca
di bawah teduhan kemboja
pusaramu tenteram.

Itu sajalah cumanya Taj Mahal
yang termampu ku bina
bagi meraikan
permainya keramat cinta
kasih sayang kita berdua
yang abadi dan tersendiri.

Mummy sayang
kalau sebelum daddy mati
masih jua belum ada rumah
untuk anak-anak kita berteduh
telah ku pinta tempua
mengajarkan
seninya menganyam sarang.

Daddy rindu mummy.

yassinsalleh
0410 hrs. Julai 28. 13.
Tanah Perkuburan Pengkalan Balai, Chenor.
Copyright © 2013 yassinsalleh

All Rights Reserved.