Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh


Sunday, July 31, 2011

Yang Entah Kenapa

Seindah jalinan warna pelangi
sebersih dingin embun dinihari
semerdu alunan buloh perindu
segemalai bintang-bintang menari di langit tinggi
demikianlah keramatnya perkongsian suka dan suka
menjambatankan kita, kau dan aku
yang entah kenapa tiba-tiba
hilang bersama daun-daun waktu
berguguran di tiupan angin malam
yang tidak lagi singgah bertandang.

yassinsalleh
1543 hrs. Julai 31. 11
Dalam perjalanan dari selatan ke utara
pulang mencari arah hala yang tak ketemu

Friday, July 29, 2011

Menjemaahkan Aku Solat Berdiri



Aku tak minta sebuah negeri untuk ku perintah.
Aku tak minta sebuah kerus bertanding prk.
Tak juga aku minta sebuah stesyen tv
untuk melatih calon gundik dewa kraton
membaca berita.

Aku cuma pohon
kau baca serangkai citra mimpi semalam
sebuah peti surat untukku alamatkan
lakar sebuah lukisan
tentang sebuah rumah lama
yang mahu kami jadikan
sebuah galeri pelukis tak berjari
yang entah esuk entahkan lusa mati.
Kuburnya nanti digalikan
antara dua batas ubi kemili.

Yang ku pinta itu
cumalah sekadar peluang
menggilap mimpi tak jadi
sementara menunggu orang
menjemaahkan aku Solat Berdiri

yassinsalleh
2000 hrs feb 17. 2011
Pelangai, Manchis, Bentong.
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Sunday, July 24, 2011

Melerai Nestapa



Malam ini
dalam sinarnya yang belas
bulan akan terus melagukan rindu
mengiringi
bintang-bintang menari
gemerlap terapung-apung
di langit mimpi tak bertepi

Dan bagaikan biasa
akan ku tonton pilu itu
sehingga tiba camar fajar
memeriahkan bayu laut
melerai nestapa satu malam
penatang duka kepiatuannya.

yassinsalleh
0135 hrs Feb 7. 11
Malam pada puncak sepinya.

Mengenangkan Piatuku


Menu semalam.
Jeruk maman,
patah-patahkan lada
peroikan sejuring belacan
gaulkan ikan bakar tawar
ubi rebus panas-panas
ulamnya petai belalang muda
makan di pangkin hujung halaman
minumannya air nira kabung
muziknya desir angin menggesel daun-daun
lagunya nyanyian unggas di rimbunan pohon.

Aduhai 
nikmatnyalah 
jadi penghuni alam
Jauh dari kota duka
Jauh dari tersendiri dalam seloka
orang-orang berebutan sarang. 

Dan hari ini ada nasi  
dan boleh minum kopi.
Aduhai.

Leganyalah sengsara diri
Masih ada kawan mengenangkan piatuku
Kalaupun mati bukannya kerana tak makan.
Terima kasih Wak.

yassinsalleh
1615 hrs. Dis 22. 2010
ponson, manchis, bentong, Pahang.

Friday, July 22, 2011

Janganlah menangis lagi Along



Along,
Janganlah nangis lagi sayang

Demikianlah
university kehidupan mengajar kita
Derita Tanggung Sendiri.

Bila kita tak bernama
kita cumalah sepinya kaku pasiran pantai
Kalau ada orang datangpun
mereka sekadar mencari tempat
yang selesa untuk bercanda.

Bila kita tak berpunya
kita tiada saudara mara.
Yang turut berkongsi nestapa
cumalah kawan-kawan
yang tiba-tiba menjadi sahabat sejati.

Tiba-tiba orang luartepi
yang berdoa,
yang mengucapkan sejahtera
yang mengirimkan SMS
check account balance
untuk bayar sambung api
untuk beli stoking Mummy
untuk pergi makan nasi
untuk isi kosongnya tangki
untuk kita tidak jalan kaki.

Bila malang datang
timpa bertimpa
Kita terasa amat piatu
Tapi
Kebesaran Allah meneracakan
Manusia pada nilainya,
saudara turun taraf jadi kerbau jadi anjing
kawan-kawan,
yang dekat datang membawa bunga
yang jauh tiba berkongsi hiba
berbahagi duka melerai nestapa.
Yang tak berdaya memanjatkan doa.

Janganlah menangis lagi Along.
Allah SWT tahu apa yang seharusnya.
Allahuakbar.

yassinsalleh
0237 hrs. okt 7. 2010
Kamar Menanti Wad ICU,
Hospital Serdang, Kajang.
Copyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved


Masihkah Ada Lagi Peluru Untukku



Orang tak tembak
helang tua
macam kuda patah kaki.
dilupuskan.

Bila nanti
sayapnya sekah
sang helang tua itu akan sendiri
jatuh terdampar ke dalam belukar
penuh ular berlengkar.

Berakhirlah citra perkasa
Sang Helang tua
bilamana pada sampai
orang sudah tak mahu
membazirkan peluru.

Masihkah
ada peluru lagi
untuk aku agaknya
atau
sudah pada bagaikan
Sang Helang tua jua
penjejak denai semalam
ini yakninya?

yassinsalleh
1403 hrs. Feb 17. 2011
Ponson, Manchis, Bentong.
Copyright (c) 2011 yassinsaleh
All Rights Reserved

Thursday, July 21, 2011

Peragakanlah Gigi Subsidi Risdamu Itu

Bila rambut tiba-tiba kusut,
setiap helai rambutmu itu belahlah tujuh,
leraikanlah.

Kalau tiba-tiba setitik taik burung jatuh
di hujung dagu,
mesyuarat agunglah kabilah semukim
cari cara terbersih mencucinya

Bila tiba-tiba seekor tempua
dah tak pandai lagi menganyam sarang,
berkongreslah
masyarakat mergastua.
cari sebab musabab yang saintifik
virus apakah yang menular kecendekiaan

Bila tiba-tiba bulan terendam
dan matari rebah pagi
Interlok yang dibakar itu
ambilah abunya jadikan bedak
hitamkanlah wajah sawo matangmu itu,
dan seringaikanlah senyuman.
Peragakanlah gigi subsidi RISDAmu itu
sambil menyanyikan enjit-enjit semut
siapa sakit naik atas.

Pinjamlah pisau Tok Mudim.
Kerat anumu.
bagi biawak makan.

yassinsalleh
1145 hrs March 11. 2011
Melintas Titiwangsa,
dalam perjalanan ke pusara Mummy.
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Monday, July 18, 2011

Nyanyi Tanah Licin Sogadang-gadangngnyo



U-Wei,
Ancak banar
Wayang U-Wei Angkat Saksi
Bersandieng duo nyanyi seni
di Balai Lukisan Nan Pucuk
Ramainyolah urang berduyun datang
bagaikan wa’ang beralek gadang.

U-Wei,
den nantikan pulo
naik saksinyo nan gadang HANYUT,
sogadang-gadangnyo nyanyi tanah licin
mamanjek langit mambalah bonuo,
awak ngan awak juo.

yassinsalleh
1217. Julai 19. 11
Balai Seni Lukis Negara
Copyright (2011) yassinsalleh
All Rights Reserved.

Sunday, July 17, 2011

Alahai Sangsapurba.

 
Langit biru nan tinggi.
Bintang-bintang yang saujana jauh.
Puncak matari yang membakar garang.
Redup bulan yang mengulit malam.
 
Dalam demikian kebesaran kejadian Tuhan
di bawahnya,
di tanah merekah yang kian terbelah
bila hujan tak jadi turun
embun tak boleh sesukanya ditadah
tanpa setuju, tanpa fatwa, tanpa setia,
tanpa perkenan Sang Kelembai Digital.
Alahai Sangsapurba.

yassinsalleh
1428 hrs. Julai 17.11
Kg Bemban, Jerang,
Durian Tipus, Jelebu, N9
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Friday, July 15, 2011

Bisu, Tuli dan Kering Layu

Sungguh malangnya Melayu, 
bahagianya, menjunjung setia.
bangganya, berdatang sembah
senantiasa gembiranya,
melutut, bertelut, sujud.

Penuh tertib takzim yang amat
terpasak tangan di dahi
sambil bontot tercangkuk duri
serelanya menanti janji
yang mungkirnya jelas sudah
terukir di dahi para pemimpin
yang lanun pun tak mau bertuan.

Demikianlah Melayu
yang mendayu dan merayu dan merapu
“Hambakanlah daku.
Hinadinakanlah daku
Injakkanlah darjatku
di bawah debu telapak kakimu,
demi kesetiaan,
senantiasakanlah aku didemikiankan.

Semoga aku akan terus
menyemalu dungu, bisu, tuli dan kering layu,
demi kelangsungan suatu bangsa berketuanan
warisan tamadun tinggalan Sangsapurba
dan
Perlentekeling!”

yassinsalleh
1925 hrs. april 21, 09
merumput batas keledek
yang melebar tumbuh duri semalu
ponson, manchis, bentong
Copyright © 2009 yassinsalleh
All Rights Reserved

Yang Sudah Tiba-Tiba Hilang.

Bagaikan
menanam bunga di buih lautan
menjaring angin di padang rindu
menggenggam air di gurun pasir
aku menghitung
satu demi satu demi satu
bas dan lori tua lalu dan terus lalu
tak siapa turun singgah di sini
melihat aku menganyam hiba
suatu kabilah bangsa luka
mengejar maharnya
tanpa tali mengikat celana
tak berkutang terlentang.

Dalam lumpur air mengalir
aku menghitung lendir menghilir
dari pergunungan ketumbukan orang telanjang
di mana orang yang sempurna lengkap berpakaian
dihukum biadap dinistakan tak bersopan.

Makanya,
bersusun berduyun
orang-orang membakar pakaian di badan
ramainyalah pula teman-temanku
yang sudah tiba-tiba hilang
dan anak-anak berebutan memanjat pohon nan bongkok
sebelum kura-kura turut berlumba.

yassinsalleh.
2324 hrs. Ogos 29. 2010
di antara tangga dan hujung halaman
Sanggar Penyair Cyber Pahang
Ponson, Manchis, Bentong, Pahang.
Copyright © 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved.




Seindah, Serapi Estetika Mahakaryamu itu.

Puyu main buih. 
Murai menyambar belalang.
Semalu kuncup dipijak balam.
Bunga lalang hinggap di kelopak mengkuang.

Matari redup sebelum petang.
Itulah saja yang ku lihat.
Takde apa yang membawa metafora.
Takde yang dapat disusun rima.
Takde bunyi hati yang bermelodi.

Yang ada cumalah
rintih pilu gilapan rindu.
Itulah cuma sudahnya aku.
Aduhai kerbau
kembalilah engkau ke sawah ini
boleh kita sama-sama menunggu
bangau datang lagi membawa salam
dari awan merah warna,
dari citra angin benua
di hujung, di pangkal,
genta terakhirnya yang hilang gempita.

Aduhai tempua,
ajarlah aku menganyam sarang
seindah, serapi estetika
Mahakaryamu itu.

yassinsalleh
1230 hrs. Nov 29. 10
Ponson, Manchis, Bentong, Pahang.
Copyright (c) 2010 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Monday, July 11, 2011

Yang Berterbangan, Telanjang


Dulu,
Si Buyung meniupkan impiannya
dalam melodi seruling batang padi
sambil tersandar dia di tangga pundung
menghalau burung makan padi
dia menarik tali gantungan
patung orang-orang menari.

Kini,
Si Buyung tiada lagi batang padi untuk bersuling
lagunya terkepung dalam tarian patung
orang-orang yang terpasung
di halaman Sang Penggilap Sepatu
yang menimbang bahara
di mimbar biara
semaunya.

Dan
bagaikan engkau jua aku kini, Buyung.
Terpasung dan terapung melihat patung
orang-orang menari dalam mabuk Si Pari-pari.

Ke hujung ke pangkal mereka berlari
mengejar pesawah-pesawah tua  
mencari tempat sembunyi
ke darat ke baruh mereka terkencing dalam berlari
diburu bayang-bayang hantu siang
yang berterbangan, telanjang

Esuk,
Masihkah kita akan tetap jua berlarian?
Aduhai Buyung!

yassinsalleh
1030 hrs. Julai 12. 11
Ponson, Manchis, Bentong, Pahang.
Copyright (c) 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved