Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh


Thursday, September 30, 2010

Penyair Tamu wanmohdadnan - DI MANA ALIF BA TA?



Dalam keriuhan pasar
ada yang termanggu resah
walau ada ikan patin masih bernyawa
tak kala disimbah dengan air paya
tak sesegar sungai di sempadan
kerna airnya deras mengalir
akhirnya menghakis batu-batu
tertanam, tiada siapa pun tahu

kini, merangkak-rangkak sang dungu
yang dipesongkan akal ke lembah biru
tiada tahu Alif Ba Ta
mungkin saja kita tanya
murai yang petah bercakap
dan kita akan tahu.

wanmohdadnan/oaag
0909 hrs. okt 01. 2010
BIM, kuantan, Pahang
Sanggar Penyair Cyber Pahang
Copyright © 2010 wanmohdadnan/oaag
All Rights Reserved

Wednesday, September 29, 2010

nyanyi SimfoniPILU yassinsalleh - Ejaannya Sudah Lama Dipadamkan




Malam bulan dipagar bintang.
Membelai rindu pungguk mendayu
Memujuk Upiek pilu menunggu
Melambai Buyung di rantau sayu

Siang matari ditabir awan.
Merentas langit menyinar kehidupan
walau apapun jua yang merintang
tiba senja tanpa mungkir sampailah ia
melabuhkan tabir malam sempadan hari
mendinginkan bara pasir krikil sahara
menghidupkan lampu rumah api
menyalakan bintang-bintang langit tinggi
penunjuk arah pemandu hala
kapal di laut kafilah di daratan.

Demikian bulan, bintang-bintang dan matari
masing-masing
menyempurnakan tadbiran alam
yang diwajibkan ke atas mereka
setulus ketelusan penuh setia.

Dalam demikian
manusia kian jua seperkasanya
memalamkan siang, mensiangkan malam
dan merelaikan bintang-bintang dari tangkainya
satu demi satu gugur
jadi debu jadi duli di bawah telapak kaki
yang disorongkan kepala
mohon diinjakkan  lagi dan lagi  dan lagi
atas nama setia
sang buta, si tuli dan bisu
yang merata dan melata jalan tak berpeta
arah tak berpedoman
hala tak keruan
qiblat tak terbacakan
ejaannya sudah lama dipadamkan.

yassinsalleh
1158 hrs. sept 30. 2010
Hospital Serdang, Kajang
nyanyi sunyi simfoniSEPI yassinsalleh - Rapsodi Simfoni Nestapa Ini




memujuk belas hati nan hiba
akankah awan merenjis gerimis
meniti pelangi ke hujung mimpi
di kaki matari yang rebah pagi.

angin bertiup lalu
kusut rambut menutup wajah
terubatkah rindu terleraikah pilu
dalam pedih menanti
salam tak tiba khabar tak sampai
serindit pula terbang hilang entah ke mana.
aduhai!

palingkanlah wajahmu ke arahku
hentikanlah tangisanmu
peganglah tanganku
mari kita terapung menari ke awan tinggi
kita cari fatamorgana
kita tinggalkan
rapsodi simfoni nestapa ini.

yassinsalleh
 0505 hrs jan 29. 10
sanggar simfoniRINDU

Posted to facebook by Yassin Salleh on Wednesday, September 29, 2010 at 5:06pm
http://www.facebook.com/notes.php?id=522689906&notes_tab=app_2347471856#!/note.php?note_id=470366429746

*******************************************

anjung Simfoni Pilu yassinsalleh - Siapakah Pulak Lagi?



Tirai awan masih lagi terlabuh.
Gerimis yang merenjis
tak upaya memujuk matari merentang pelangi
layang-layang riang melegari nestapanya pagi
bagaikan sang algojo ternaik syahwat melihat
darah pancungannya bersemburan.

Entah kenapa aku tiba-tiba naik loya.
Dan tiadalah aku mahu lagi melihat                             
riangnya layang-layang mengandam awan
bagaikan geram sang algojo meniduri ibunya.

Aduhai,
banyaknyalah layang-layang terbang riang
meraikan sang algojo yang kian gelojoh.

Selepas ibunya,
siapakah pulak lagi
pasangannya bermukah?

Orang berjubah berserban,
jangan harus bertembung di sini

yassinsalleh
1410 hrs. sept 27. 2010
Hospital Serdang, Kajang

Posted to facebook by Yassin Salleh on Tuesday, September 28, 2010 at 2:39am

Friday, September 24, 2010

nyanyi Simfoni Pilu yassinsalleh Mengejar Kafilah


  
Demikian aku mengutip
bunga-bunga buih tinggalan semalam
di saujana kaki langit tak bertepi
matari menyimpang lalu
bulan sembunyi diri
bintang-bintang jua turut tak peduli.

Alahai,
piatunyalah aku
teman-teman kian jua sayup mengejar kafilah
sarat qorun, sendat syahwat
pesta para dewata
berbahagi rampasan di mimbar biara
tanpa kitab, tanpa mentera
tanpa jurukira.

Aduhai
kadang-kadang
terasa ingin jua aku bertanya
kenapa aku tak pandai
mengejar kafilah?

----yassinsalleh
1017 hrs. sept 25. 2010
sanggar simfoni
la cassa pacifica de yaslehs

KAMILAH TUAN PUNYA ASAL TANAH dan AIR INI. – satu

buat Ramli Lugan Putera Jahut Berani

Sejak mula dunia ada,
takde kampung
di bumi pesaka
Kami ini.
Gunung,
ada hutan saja.
Bukit
ada hutan saja juga.
Lembah,
ada hutan, ada belukar
ada pokok buah boleh makan.

Macam-macam.
Ada pokok boleh makan daun,
boleh ambik umbut buat sayur,
bapoklah sedapnya.
Emm, gecor liur koi!

Ada pokok daunnya ulam
ada pohon buahnya ulam
merata tumbuhnya,
sesubur-suburnya
macam badak sengat dek tebuan,
gemuk-gemuk.

Air mengalir
jernih macam airmata budak
dari puncak air meleleh
turun gunung
jadi sungai kecik
mengalir ke bukit
turun menjunam jadi jeram
bersih macam awan pagi.

Berendam mandi
rasa macam balik muda

orang dah tua,
segarnya macam nguyah ubi jage,
dinginnya

macam kena peluk embun gunung,
jernihnya,

macam cermin orang sikat rambut.

Air itu ngilir lagi
dari jeram ke jeram
jadi sungai besar mengalir deras
sampai di tanah rata
macam tenguk dalam cermin
terhampar pasir
putih melepak di perut sungai
ramainyalah,

ikan-ikan bermain dalam jernih air
berkejar ke ulu, belari ke hilir.
Sekali nyelam dapat dua kali makan.
Semalam lukah dipasang
sampai jelak makan ikan salai.
Sekali pergi nyumpit
sari semalam tidor tak jenere,
senak perut meratah lauk.

Begitulah
Nenek moyang kami,

tuan punya hutan ini,
tuan punya bukit bukau ini
tuan punya gunung-ganang ini.
Tuan punya semua sungai,
segala ikan, baung, belut dan tilan.
Burung-burung, landak, pelanduk,
kijang, balam dan belalang.
Takdok siapa doh orangnya,
kamilah tuannya,
kamilah

tuan punya hutan belantara ini.
Anugerah Tuhan Semesta Alam
Kepada kami
Tuan Punya Asal Tanah dan Air ini.

---yassinsalleh
2238hrs sept 5. 2010
La Cassa Pacifica de yasleh
Puchong, Selangor DE.

Wednesday, September 22, 2010

anjung Sanggar Seruling Batang Padi yassinsalleh - Minta Dilerai Cawatnya





Kerbau gunanya
menarik bajak di sawah,
dan tempat bangau hinggap
memagut kutu atas belakangnya,
dan jadi haiwan sembelihan hari bantai,
menyambut raya,
dagingnya buat rendang cicah lemang.

Anjing pula
tempatnya di bawah rumah,
menyalak bila orang lalu,
dan menggonggong
bila babi masuk pagar sondol ubi atau keladi.

Tapi,
bila disergah biawak
anjing itu lari bercawat ekornya.

Kalau anjing itu tersepit,
jangan ditolong.
Bila dah lepas dia gigit
barang sesiapa yang menolong.
Itulah
kata bidalan
menolong anjing tersepit.

Mujurlah aku ni sekarang
di kamar menanti
untuk keluarga pesakit Wad ICU.
Nak masuk kena pakai pas,
kena naik lift yang cakap omputih,
dan kena sabun tangan nyahkuman.
Kalau tidak,
mungkin juga ada kerbau
yang datang mengadu sesak
mengaku sesat.
atau
anjing mati bini yang datang
minta dileraikan cawatnya
yang berbelit di buritan

Aduhai.

yassinsalleh
1840 hrs. sept 22. 2010
Kamar Menanti Keluarga, Wad ICU,
Tingkat 4, Hospital Serdang, Kajang

Posted to facebook
by Yassin Salleh on Thursday, September 23, 2010 at 1:59am
http://www.facebook.com/note.php?note_id=467526269746

anjung Sanggar Seruling Batang Padi yassinsalleh - Yang Menanti


Bila tanah gersang
bukannya tak boleh bertanam.
Di dahan pohonpun
berak burung boleh tumbuh dedalu.

Di timbunan musibah
bukannya tak boleh bersyukur.
Setidak-tidaknya
ada yang menanti nak bertafakur di kubur.

yassinsalleh
1220 hrs. Sept 22. 2010.
Katil No 6. Wad ICU,
Hospital Serdang, Kajang

Posted to facebook
by Yassin Salleh on Thursday, September 23, 2010 at 12:26am
http://www.facebook.com/?sk=messages#!/notes/yassin-salleh/anjung-sanggar-seruling-batang-padi-yassinsalleh-yang-menanti/467493154746

Tuesday, September 21, 2010

Daddy loves Mummy.

Mummy jangan bimbang.
Kita sakit masuklah sepital.
Tak daya bangkit kita panggil ambulan.
Takde duit, kita juallah buku kat kedai 2nd hand books.
Lagipun deposit wad kelas 3 taklah mahal sangat.


Mummy jangan bimbang takde orang pedulikan kita.
Kalau Mummy mati,
Daddy tanam.
Kalau Daddy mati, Mummy tanam.

Kalau kita dua-dua mati,
nanti adalah orang tolong tanamkan
Takkanlah jiran sebelah sanggup
nak hidu bau busuk bangkai kita.

Tutuplah telefon Mummy tu.
Daddy loves Mummy.

yassinsalleh
1428 hrs. sept 20 2010
ruang nanti Zon Kritikal
Jabatan Kecemasan & Trauma
Hospital Serdang.

Penyair Tamu anjung Denai Semalamku, Marzidah Wizi - DOA KASIH

meratap tidakku mahu
mengharap tidakku sanggup..
kehidupan hamba
tetap berpaksikan kiblatnya

walau duka kuterima melata-lata......
walau hiba hati ini disiat

takkala mendung di subuh hening
menyonsang ribut ditengah lautan
menjadi iktibar sekian anak

aduhai..
sentuhlah aku dengan irama takwamu
belailah aku dengan amalan
lenakanlah aku dengan petunjukmu
bagai haluan di surah

...marzidahwizi .oaag
Sanggar Penyair Cyber Pahang
Copyright © 2010 marzidahwizi
All Rights Reserved

Posted to FB
by Marzidah Wizi on Tuesday, September 21, 2010 at 8:28pm

Monday, September 20, 2010

Sekadar memaklumkan. Mummy Siti Rahey masuk ICU.

Sekadar memaklumkan. Isteri saya, Siti Rahey Binti Salehuddin, Mummy kepada anak-anak kami telah dimasukkan ke Wad ICU, Hospital Serdang
Petang Isnin, 20hb September, 2010.

Doktor yang memeriksanya di Wad Zon Kritikal Jabatan Kecemasan Hospital Serdang mendapati Mummy patah sendi peha kiri (femur). itulah yang menyebabkan dia tak boleh bergerak sejak jatuh terlentang di dapur dua hari sebelum raya.

Akibat lama tak bergerak doktor bimbang ada darah beku yang masuk ke dalam saluran darah dan bergerak masuk ke dalam paru-paru, mengakibatkan ‘pulminory embolism’ yang membuat dia sukar bernafas.

Salam Takzim. Mohon Doa Restu.
Terima kasih.

yassinsalleh
0050 hrs. Sept 21. 2010
Le Cassa Pacifica De Yaslehs
Puchong, Selangor DE.

Sunday, September 19, 2010

Yang Kian Penuh Kemuncup


Sebidang ranah nestapa.
kemuncup di tengah padang
semalu di pinggir laluan
ceritera suatu bangsa
yang entah mahu ke mana di bawa.

Dodoian hiba buaian tidur
ibu yang belas
matanya tertancap jarum waktu
ibu yang pilu
bibirnya terjahit benang sopan
ibu yang sayu
telinganya tersumbat hampas tebu

Takpolah omak.
esuk den bakar sawah kito ni
mentesuk
kito kutip belalang yang mati
den bawa jual kek pasar tani
di kakilimo setano putrajaya.

Saujana padang kehidupan
suatu keturunan
Semalu yang kian menguncup
dan kaki seluar
yang kian penuh kemuncup.

yassinsalleh
2102 hrs. sept 19. 2010
bumi keramat telapak moyangku
tanah adat yang dah tak bertempat

***
















MELAYU,
Kemuncup & Semalu.

Apapun darjat perolehan di pangkal nama mereka, biasanya, mentaliti tetap Melayu. Perangai kedoktoran falsafah hasad dengkinya, Ph.D, tetap Melayu.

Nafsu nafsi mahu jadi kaya-raya sesegra memasak mee maggi, tanpa perlu kerja kuat, masih jitu, Melayu. Mengampu, menipu, menegakkan yang batil, membenamkan yang benar, masih tetap Melayu, subur, segar dan mekar semelayu Melayunya.

Makanya mereka, para Melayu ini, bagaikan kemuncup akan senantiasa berdiri lebih tinggi dari rumpun semalu. Kemuncup berupaya menjangkiti kaki seluar orang-orang yang berjalan di siar kaki kuasa dan mengikut hentak kaki sang berkuasa itu hingga ke bilik air, malah ada yang sampai ke kamar peraduan.

Sedangkan Melayu yang jelata dan melata, tetap jua bagaikan rumpun semalu di pinggir laluan. Setiap kali orang lalu, ia akan kuncup dan layu. Itulah Melayu yang penuh sopan menatang hemah dan akan teruslah demikian sambil mengkagumi kemuncup yang menyalut kaki seluar para dewa-dewa sang berkuasa.

Aduhai.

yassinsalleh
1635 hrs. sept 19
bumi keramat telapak moyangku
tanah adat yang dah tak bertempat

Saturday, September 18, 2010

dan Sungai Madu Firdausi


Di wajahmu ku lihat bulan
Di wajah bulan ku lihat senyummu
Di senyumanmu
ku lihat bintang-bintang.
Di kerdipan bintang
ku lihat langit malam
biru saujana menghamparkan
Kebesaran Tuhan

Tak terjawab aku
di mana langit sampai ke tepinya?

Kalau ia bertepi
di mana pula sempadan langit tepian itu?
Dan di manakah pula langit tepian
pada langit tepian itu bertepi-tepian tepinya?

Lalu,
akanku berdiri menantikan
kau datang membawa kalkulator
menghitung jaraknya
antara kaki langit
dan
Sungai Madu Firdausi.
kerana tidak siapa yang tidak tahu menghitung
seramai mana empat puluh empat bidadari yang dijanji itu
yang bermain kecapi dan yang lahap menyedut sakar madumu.

yassinsalleh
1559 hrs. sept 18. 2010
ponson, manchis, bentong
 

Friday, September 17, 2010

aduhai, dewi ilusiku




dewi ilusiku

selagi ombak mengejar pantai
demikianlah aku
akan terus mengejar pelangi
demi sakar madumu
yang akan ku hirup
walau cuma sekadar dalam ilusi
kiranya itulah batas terakhir
kemungkinan takdirku
si fakir kasih
yang kini
bagaikan pelaut kematian angin
aduhai!

yassinsalleh
0138 hrs. sept 18. 10
sanggar simfoniKASIH
ponson, manchis, bentong, pahang

*******



dewi ilusiku 2

memujuk belas hati nan hiba
akankah awan merenjis gerimis
meniti pelangi ke hujung mimpi
di kaki matari yang rebah pagi.

angin bertiup lalu
kusut rambut menutup waja
terubatkah rindu keluhan pilu
dalam pedih menanti
salam tak tiba khabar tak sampai
serindit terbang hilang entah ke mana.
aduhai!

palingkanlah wajahmu ke arahku
hentikanlah tangisanmu
peganglah tanganku
mari kita terapung menari ke awan tinggi
kita cari fatamorgana
kita tinggalkan
rapsodi,
simfoni nestapa ini.

yassinsalleh
 0211 hrs sept 18. 10
 sanggar simfoniRINDU
ponson, manchis, bentong, pahang

*******




dewi ilusiku 3

jangan cari rama-rama

demikianlah
piatunya si fakir
tidak pernah akan ada siapa
yang belas
melihat keterbuangannya.

makanya,
sarat sebak dada nan hiba
teruslah jua ia menggalas nestapa
mengheret kakinya yang luka
kerikil sahara ranjang mimpinya
duri kaktus penghilang dahaga

kerana sahara
saujana bara pasir cuma.
janganlah cari rama-rama di rimbunan kaktusnya.

yassinsalleh
0223 hrs. Sept 18. 10
sanggar simfoniRINDU
ponson, manchis, bentong, pahang

*******

Penyair Tamu anjung Denai Semalamku, Qasih Pahang - SEBUAH DIARI USANG



Sebuah Diari usang
Menyimpan luka silam
Dalam lipatan hidup
Berwarna hitam kelam

Sebuah Diari usang
Ada duka berbekam
Tercatat tinta berdarah
Dalam mencari arah

Sebuah Diari usang
Sekian lama terpendam
Menghimpun debu2  hidup
Dari cebisan semalam

Sebuah Diari usang
Lama terbiar sendiri
Di meja harapan
Tanpa peduli.

Qasih Pahang
1643. sept 17. 2010
Kuantan.
Copyright   ©  2010 Qasih Pahang
All Right Reserved
-----------------------


sebuah diari usang. masih tersimpan di dalam laci sesekali terbaca juga.

Irisnur Abdullah

sebuah diari usang
Lama kupegang
helaian suka duka yang kukenang
Air mata jatuh berlinang
Oh hati. Bertenang
Smoga pahit Jangan berulang

Tq Qasih
A memoir of pain and sorrow


Zarinah. Diari dah lama tak bertulis.


Irisnur. Lembaran silam, tersimpan kejap dalam lipatan hati dan terluah dalam sebuah Diari.


Qasih
rima kesemua rangkap pusi ini cukup menarik,terjalin dengan harmonis. tentang catatan resah gelisah yang diam, tersimpan dalam catatan, membacanya mengingat kembali, kisah ,kepada rencam kehidupan, umpama pepatah lama, setiap yang dicatat kita takkan lupa, belajarlah
mencatat perkara, berbanyak guna, catatkan segala kepada kertas putih tanpa garis.

saya menyukai puisi ini, terus menulis jangan letih.
kelompen
grupemuisi dpmp
temerloh


Thanks a lot abang kerana tidak pernah jemu berkongsi rasa dan cerita. Juga memberi buah fikiran dan juga pandangan. Selamanya qasih tidak akan pernah melupai keakraban kita, malah menghargainya. Kita bangun dari kelukaan silam. Kita adalah lara yg berpanjangan. Kita menghargai sebuah kehadiran kerana kita tahu betapa sakitnya sebuah kehilangan. Kita menghargai sebuah kasih sayang kerana kita tahu betapa sukarnya untuk memiliki kesejatian dalam sebuah kasih sayang. Kita telan segala payah dan kata-kata orang lain kerana kita tahu betapa berharganya sebuah ikatan persahabatan. Sesungguhnya, tidak akan pernah ada perpisahan dalam membina sebuah ketulusan. Luka lara biarlah selamanya tersimpan di dalam diari yang bisa diingat tapi bukan untuk dikenang sampai bila-bila kerana kita perlu bahagia seperti insan lain.


 Diari usang, kutemukan anak-anak sajak berdansa di situ
mereka terbang ramai-ramai dan hinggap di jantungku
ketika penuh debar kubuka halamannya satu persatu

Nota Terbuka di facebook untuk YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Friday, May 14, 2010

yassinsalleh recieving The Best Director award
for The Best Film, DIA IBUKU,
from the Deputy Prime Minister, Dr. Mahathir Mohamad.
DIA IBUKU won 10 awards overall.
* Pesta Filem Malayasia Kedua, 1981*



YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim,
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Semoga Nota terbuka saya ini dapat membantu YB Dato Seri Utama Dr. meninjau ke bawah, melihat rumput,
kemuncup dan daun semalu yang kuncup.
Salam takzim. Mohon doa restu.
Terima kasih.
Yassin Bin Salleh@Apoi bin Latip
Kg Jerang, Durian Tipus,
Jelebu, Negeri Sembilan.

YB Dato’ Seri Utama Dr.

1. M. Jamil adalah anak Jalan Ampas. Ibunya, Sarimah Ahmad – sekarang Datuk, seniwati top Studio Shaw Brothers di zaman kegemilangan filem Melayu.
2. Pada usia 17 tahun M Jamil memenangi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik melalui filem Dia Ibuku yang memenangi anugerah Filem Terbaik, menggondol 10 anugerah yang rekodnya belum terpecah hingga kini.
3. Sejak menamatkan pelajaranya di Ohio Dominican University, USA '87, M. Jamil, dulu, kini dan akan selamanya aktif selaku pelakon, penulis lakonlayar, pengarah dan penerbit filem.
4. Filem terbaru arahan dan terbitan M.Jamil, Momok The Movie adalah sebuah filem block buster yang memecahkan box office. 5. M. Jamil sekarang dalam perancangan pembikinan filem "Momok..Jangan Panggil Aku"
6. M. Jamil produser dan pengarah Momok The Movie yang telah memperlihatkan potensi dan kejayaan masih dianggap oleh Finas dan bank sebagai kurang layak untuk mendapat bantuan seterusnya.
7. Bidalan dalam bahasa Inggeris, Seeing Is Believing. Kepada yang berwajib di Finas dan Bank pengendali pinjaman untuk filem, saya mengajukan satu soalan. Haven’t you seen all M. Jamil’s achievements to date? If you don’t, why? Had you done a Kasim Selamat to your eyes?
8. Please take note, Finas used to give grants to the tune of millions to some peoples who knows nut about films. One of them was a technician in one obscure tv station, the other one was a court jester to a minister. That film was a flop, Big Time!
9. Yours truly, directed Dia Ibuku that won The Best Film, bagging 10 awards in the 2nd Pesta Filem Malaysia, 1981. To date, yassinsalleh, is yet to even get an invitation to any event organised by Finas, leave alone financial backing for films.
10. Here is a proven talented and dedicated film maker M. Jamil. Finas handlers, its your duty and responsibility to assist him. Need more to be said? Wanna open Finas Pandora Box?
11. Di bawah saya turunkan satu salinan cut & paste tulisan M. Jamil dalam blog http://momokthemovie.blogspot.com/

Salam takzim. Mohon doa restu.
Terima kasih.

Yassin Bin Salleh@APOI
0437 hrs. Mei 13. 10.

M. Jamil
dalam blog
http://momokthemovie.blogspot.com/
"Pasti ada yang tertanya-tanya status perancangan pembikinan filem "Momok..Jangan Panggil Aku" Sebenarnya kami sendiri tertanya-tanya? Kenapa susah sangat nak buat filem di tanahair sendiri? Dana telah diberikan oleh kerajaan, Finas, SME Bank dan BSN adalah pemegang amanah dana..Tetapi perlaksanaan agihan dana lebih teruk dari Ah Long. Momok The Movie yang telah memperlihatkan potensi dan kejayaan masih dianggap oleh Finas dan bank sebagai kurang layak untuk mendapat bantuan seterusnya. Kami adalah karyawan yang ikhlas dan telus dalam memperkembangkan karya demi pembangunan industri seni tanahair. Janganlah kami diajak berpolitiking. Kami ingin sama-sama menyahut semangat 1 Malaysia -“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang dilaungkan oleh PM kita. Statusnya sekarang, masih merayu pihak bank, Finas dan pak-pak menteri untuk membantu. Tapi sehingga sekaranglah dan hampir 7 bulan ada jawapan yang menghampakan dan ada soalan yang terus tidak dilayan langsung. Namun terpaksalah kami tunggu juga. Harap-harap pihak Finas dan kementerian yang terbabit dapat bagi jawapan yang telus sebelum kami juga terpaksa menyiarkan bukti kronologi apa sebenarnya yang terjadi kepada umum. Kami akan teruskan usaha pembikinan filem ini. Rezeki ditentukan DIA. Sememangnya kami adalah golongan pembikin filem yang serius dan bukan dari golongan kroni, kontraktor, tauke sayur, tauke ikan dan tauke khinzir yang mudah dari karyawan filem sendiri mendapat kemudahan dana ini. KAMI ADALAH KARYAWAN yang berada dalam industri ini sejak era Lagenda Tan Sri P.Ramlee- kegemilangan filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura. Bangkai gajah tak boleh disorok. Kebenaran lambat laun akan diketahui umum. Kepada mereka yang senasib dan serius dalam industri ini..."hanya Jauhari mengenal manikam" Harapan kami agar pihak yang benar berkuasa dapat menjengok akan masaalah ini. “How long should you try? Until. ” —Jim Rohn, author, business coach, motivational speaker.
Posted by momokthemovie at Friday, May 07, 2010 0 comments

Posted by momokthemovie at Friday, May 14, 2010 0 comments   Monday, May 10, 2010