kita pijak-pijak bendera israel sampai lumat
kita bakar bendera israel jadi arang jadi abu
dalam televisyen keluar gambar kita berlilit kepala
mulut ternganga luas sampai nampak anak tekakj
melaungkan amarah dari nestapa dari sengsaranya
siksa menanggung kezaliman zionis yang merajalela.
Kita adalah Gaza yang dizalimi
dan Gaza adalah kita yang prihatin
kita demonstrasi sebagai orang berani
kita tunjuk persaan di bawah pimpinan orang ternama
orang tersohor ayam jantan pahlawan bangsa yang perkasa.
Kita adalah Gaza yang nestapa
dan Gaza adalah kita yang turut merasa
kita demonstrasi di jalanan kota yang cantik bergincu bercelak
malamnya kita tenguk gambar kita demonstrasi di TV3
dan di puncak menara tinggi
sang ayam jantan tersohor main jadi raja musang berjanggut
bukan siti muslihat yang menonggang belakang si ayam tak berjanggut
tapi seekor koboi bernama Apco.
Kita adalah Gaza
dan Gaza adalah kita
penulis ceritera pilihan yang box office guranteed.
yassinsalleh
1843 hrs june 2. 2010
La cassa pacifica de’ yaslehs
Kuala lumpur
-----------------------------
Ke Manakah Hilangnya Semalamku?
Serindit di pucuk meranti
menyanyikan mentari melarik pelangi.
Dara sunti
bersimpuh di batu menantikan berakhirnya rindu.
Bangau hinggap
di ranting mati mencari kerbau yang hilang.
Belalang berlompatan di batang padi
jatuh berpaut di daun keladi.
Tempua menganyam sarang
di daun kelapa
sambil merbah bersahutan panggil memanggil
ajak berkongsi pisang sesisir.
Aduhai, ponson, kampungku
ke manakah hilangnya
semalamku itu?
yassinsalleh
0658 hrs feb 2. 10
kg ponson, manchis,
bentong, pahang
---------------------
Pasangkan Sebatang Lilin 2
pasang sebatang lilin dalam hati
nanti akan ada pula lilin lain
dipasang dalam banyak kamar hati lagi
di hati lain, di kalbu lain, di kampung lain,
di kota lain di bumi lain nanti
akan banyak terpasang lagi lilin-lilin lain
di padang lain,di bukit lain, di gunung lain, di laut lain.
Kerdipan lilin itu
akan merentas sempadan melintas benua
dalam kebangkitan rasa kemanusiaan sejagat,
berpanjangan, berkekaan, keramat dan abadi.
mulakanlah
dengan memasang sebatang lilin dalam hati
yassinsalleh
1339 hrs. June 15. 10
La cassa pacifica de’ yaslehs
Kuala Lumpur
-----------------------------
Duhai anak Gaza yang nestapa
Airmata yang mengalir
membasuh debu di pipi mu itu
tidak jatuh sia-sia duhai anak Gaza yang berani.
Bersama aliran hiba kalbumu itu
mengalir jua
belas rasa dari duka sanubari kami.
Pun apa dan betapa
duhai anak Gaza yang nestapa,
kami di sini
sedang merancangkan sesuatu yang besar
yang akan merentas sempadan ketulian dunia,
kami di sini
sedang memperlengkap sesuatu yang perkasa
yang akan merobohkan tembuk kebutaan dunia,
kami di sini
sedang memberkas lidi demi lidi demi lidi demi lidi lagi
yang akan menyapu sampah sarap yang menutup litup
kesopanan dan peradaban kemaknusiaan sejagat
demi kamu, untuk kamu, anak-anak Gaza
yang tidak akan lagi menangis sendirian.
Buat kali ini,
inilah janjiku
esuk
akan kau terima pula
janji kami semua
bergema
melintas ganas segara
bergenta
merentas batas segenap benua.
yassinsalleh 2216 hrs.
la cassa pacifica de' yaslehs
Kuala Lumpur
----------------------------
Tidak Beriman Orang Itu.
Harapnya,
malam ini tiada bom gugur di gaza
tenteramlah kalian
dalam tidurmu duhai anak-anak gaza.
Mimpi,
bawakanlah roti dan air
untuk
anak-anak gaza
yang sedang kelaparan
sementara
jiran-jiran mereka yang tahu
boleh tidur lena
sementara
jiran-jiran mereka yang amat tahu
membina dinding lebih tinggi
dan jadi anjing
yang lebih zalim
lebih keji
dari syaitan tuan mereka.
Tidakkah mereka pernah tahu
akan sabda Nabi Junjungan kita,
"Tidak beriman orang itu bagi aku,
kalau dia boleh tidur nyenyak,
sedangkan ia tahu bahawa
jirannya sedang kebuluran."
Aduhai mimpi.
bawakanlah pembalut luka
untuk anak-anak gaza yang nestapa
yassinsalleh
2247 hrs jun 10. 10
la' cassa pacifica de' yaslehs
Kuala Lumpur.
----------------------------
Itulah Semalamku Yang Hilang
Semalam ku yang hilang
adalah pohon-pohon hutan yang rebah
medan orang berkuasa mengumpul harta
makam alam maya yang diperkosa imbangannya
unggas hilang mergastua tidak lagi berkejaran
mengalirlah lumpur menjadikan sungai longkang panjang.
itulah semalamku yang hilang.
Semalamku yang hilang
adalah saujana indah padi menguning di sawah
bangau di belakang kerbau dan belalang berlompatan
adalah lambang luhurnya budaya tani bangsaku melayu
yang tidak pernah kebulur yang tidak perlu menjadi kuli
walau semiskin mana nasib menyambut takdir
ada beras adalah nasi, ada sungai adalah lauk,
ada hutan adalah rumah,
ada alam tak tercemar,
maka,
adalah imbangan maya
itulah
semalamku yang hilang.
Semalamku yang hilang
adalah indahnya
betapa tempua bersarang rendah
jangankan manusia,
musang dan biawak pun tak khianat
mencuri telur membaham anak unggas baru menetas
demikianlah bila alam seimbang
tak siapa dan tak juga apa yang kebuluran
yang membuat mereka jadi penyangak dan pemangsa
kerana keseimbangan alam membuat segalanya
cukup sempurna bagi keperluan setiap penghuni maya
merbah berkongsi lada, pesawah berkongsi tenag
bergotong royong budaya kerja persaudaraan
cubit peha kiri peha kanan terasa sakitnya
itulah hikmah imbangan alam yang berjunjungkan
falsafah tamadun budaya cendekia bangsaku
yang beradab bersopan, yang berhemah berbudi,
yang berpekerti berpribadi, berkiblat berhaluan
mengibarkan bendera kemuliaan
suatu bangsa besar berketuanan
bersendi adat bertunjangkan kitaballah
satu bangsa yang megah dan gagah,
tak pernah retak tak pernah pecah.
itulah semalamku yang hilang.
Itulah semalamku yang hilang
yang cuba ku cari
bagi mencari arah jalan pulang
untuk meleraikan kekusutan bangsaku kini
yang kian hari kian menjerut leher sendiri.
Itulah semalamku yang hilang
semangat dan falsafah satu bangsa
yang kian hari kian bahagia menempah teket
untuk berlumba memakan bangkai saudaranya sendiri.
Itulah
semalamku yang hilang
makanya,
kalau tak mengerti
usahlah kepandaian yang tak sepertinya
dibiarkan menari bagaikan gasing tak berpaksi.
yassinsalleh
1811 hrs. jun 24. 10
ponson, manchis, bentong.
No comments:
Post a Comment