Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh



Friday, September 3, 2010

August - December 2008

Dalam Masyarakat Orang Telanjang

Apa lagilah yang tinggal
bagi suatu bangsa
yang kehilangan semalamnya?

Keris di pinggang
tak lagi diasap harum kemenyan
tak lagi diusap limau langiran
dan, setiap kali terhunus
setiap itu pula ia kembali
tersarung
tanpa menikam apa-apa!

Makanya,
di manakah lagi akan tercari
erti semangat besi kursani,
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa bernama Melayu
yang asyik menyanyikan lagu Si Luncai
yang lemas di tasik kedayusan abadi.

Duhai Melayu,
apakah keris lambang kepahlawananmu
kini cuma sekadar alat
persendaan para sida-sida
di pentas erotika bangsa,
di mana berkumpul sang bacul
memuja si khianat bertakhta
di mana si bangang dan si tolol
bertemasya
merayakan ketuanan mereka
sebagai rakyat tolol
yang tanahairnya kian dogol
dan mandul!

Duhai Melayu
apabila suatu bangsa
sudah tidak dapat lagi membezakan
antara kebenaran dan kepalsuan
makanya,
bangsa itu sudah mula
membuangkan pakaian di tubuh
kerana di dalam masyarakat orang telanjang
yang berpakaian dianggap biadap
dan tidak sopan.

Syabas saudaraku Anwar Ibrahim
kau masih menjadi wira
yang tidak membuang pakaianmu
dan obor perjuangan masih jua tetap
benderang di tangamu!
semoga selamatlah engkau
dalam lindungan Allah SWT

yassinsalleh
Ogos 17, 2008
Permatang Pauh

Tinggi Gunung Seribu Janji

Tinggi gunung seribu janji
Si Luncai pun menghampar mimpi
Biarkan! Biarkan!
Bacul dituding Queen Control
Biarkan! Biarkan!
Si Bodo melelong negeri
Biarkan! Biarkan!
Boring!
Aku nak tidurlah
Biarkan! Biarkan!
He he he! Kah kah kah!

yassinsalleh
2 September 2008
Kajang, Selangor.


Cik Ke Cik Ke Boom

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom!
timang-timang anakku sayang
lekas besar rajin belajar
jadi orang berguna.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
ingat-ingat anakku sayang
bila besar jangan menjadi
pembeli kapal selam
nanti karam tenggelam.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
sudah besar jangan khianat
nanti terkena laknat.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
jangan main keris dan sumpah
nanti senjata memakan tuan
azabnya termakan sumpah.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
timang-timang anakku sayang
pagar jangan memakan padi
jual bangsa dan negeri.

yassinsalleh
September, 3 2008.


Dalam Jihad Kami Memohon

Betapalah, ya
alam seindah ini
diranjaukan setiap denai
dengan pecahan kaca
dari botol-botol anggur
yang terpacak di antara rekahan paha
perempuan
yang digelimpangkan
selepas setiap pesta lelong Belanda
para pemburu khazanah qarun
menjual ibu mereka
di ranjang erotika bangsa.

Maka kita anak-anak
satu keturunan yang tersula di mata,
yang tertusuk di dada
terus jua merentas malam bulan terendam,
tetap jua melintas mentari rebah pagi.

Dan apapun jua tanggungan
nestapa yang dipaksakan
ke atas kita lantaran khianatnya
para nakhoda pimpinan
armada bahtera bangsa
yang telah mengosongkan padi di kepuk,
yang telah mengeringkan air di telaga
dan lari mencari damai abadi
entah di mana!

Dengan ini kami bersumpah
demi pertiwiku Tanah Melayu
demi bangsaku bernama Melayu,
demi kesucian Islam agamaku
akan kami rungkai kekalutan sejarah
akan kami tegakkan tamaddun ilmu,
akan kami keramatkan tamaddun peradaban
akan kami mertabatkan keagungan iman.

Dalam jihad kami memohon
keredhaan Illahi,
agar
tidak akan lagi berulang
pagar memakan padi
haruan memakan anak
dalam kepimpinan bangsaku MELAYU!

yassinsalleh
September 4, 2008
kajang, selangor.

Luncai

bangau oh bangau
kenapa jadi gitu
macam mana tak jadi gitu
sebab kita gitu.

Bangau oh bangau
kenapa kita gitu
macam mana kita tak gitu
sebab takde batu.

Bangau oh bangau
kenapa takde batu
macam mana nak ada batu
Luncai dah hilang labu.

Luncai oh Luncai
ke mana hilangnya labu
mat dol dah curi
beri kat menantu.

Luncai oh Luncai
macam mana engkau nak terjun
nanti aku terjun
bogel togel aje!

Luncai oh Luncai
kenapa tak pakai spendar
spendar aku dah hilang
ikanYEW curi.

IkanYEW oh ikanYEW
kenapa curi spendar
aku nak pakai mandi
kat Batu Putih.

Heh he he, kah kah kah
What a wonderful world!

yassinsalleh
September 12, 2008
Kuala Lumpur

Mendayu Si Luncai

Diperingatkan
pada kamu semua
wahai kaum wanita:
Jangan pandang Si Luncai terjun
telanjang
spendar dah dicuri dek ikanYEW
pakai mandi kat Batu Putih
jauh di mataku tahu
dekat di hatiku tahu!

mana lagikan ku harap janjimu
mana lagikan ku pinta
apa lagikan ku harap darimu
jangan harap kau datang lagi padamu
jangan harap
ku kan kembali denganmu.

(Kesiannya Si Luncai mendayu
sayu sebelum terjun tanpa labu
yang dah hilang & spendar
yang dah dicuri ikanYEW!)

yassinsalleh
September 12, 2008
kuala lumpur


Buai Laju-Laju.

Buai laju-laju
sampai hari petang
orang ramai lalu
mat dol tinggal sorang.
Buai laju-laju
sampai hujung julai
semah jadi batu
sumpah dek sang kelembai.
Buai laju-laju
sampai hari malam
Ku Li kena tipu
cita-cita jadi pekasam.
Buai laju-laju
sampai hujung sana
UMNO tetap gitu
tak kira dosa pahala.
Buai laju-laju
sampai tepi sudut
Anwar jadi badut
janji kena kentut.
Buai laju-laju
sampai waktu makan
apa nak jadi orang Melayu
ramai-ramai buang pakaian.
Buai laju-laju
sampai kokok ayam
Melayu dah telanjang
orgy siang malam.
Buai laju-laju
sampai tepi surau
kenapa jadi gitu
kena tanya kat bangau.
Bangau oh bangau
kenapa jadi gitu?
macam mana tak jadi gitu
Melayu takde batu.
Batu oh batu
kenapa takde batu
macam mana nak ada batu
Melayu jual maruah.

Melayu oh Melayu
kenapa jual maruah
macam mana tak jual maruah
boleh cepat kaya.

Kaya oh kaya
macam mana nak cepat kaya
senang saja nak cepat kaya
sokonglah agenda heh heh heh!

yassinsalleh
oktober 13, 2008
kajang, selangor


Alahai Sayang

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
semua kita kena berjaga
jangan nanti hilang spender
curi dek penyedap
Shah Rukh Khan
alahai sayang!

yassinsalleh
oktober 14, 2008
kajang, selangor

Di Hujung Muara

Malam ini mari kita bariskan
gelas anggur di meja
dan pastikan kita tidak duduk
dengan penkid – itu haram
dan pastikan kita tidak dalam mabuk
duduk beryoga – itu haram
sekian diingatkan,
sempurna sudah aku
menjalankan tanggungjawab
amal makruf nahi mungkar.

Ayuh teman
mari kita bariskan lagi
gelas demi gelas anggur di meja
sepuas-puasnya
kerana kita akan menikmati
keghairahan malam ini
dengan berkongsi meniduri
perawan tua bersama ibunya
yang sedang amat dahaga
akan sumbangsih kita.

yassinsalleh
Nov 19, 08, jam 1945
kajang, selangor

Di Hujung Mimpi

Pun sedemikian bahtera terakhir ini
patahlah sudah tiang layarnya
dan pelaut tua itupun
tidak lagi mengutip angin
membilang bintang di pucuk ombak
bagaikan fatamorgana kasihnya
terdampar di hujung armada.

yassinsalleh
Nov 25, 08; jam 1414
kajang, selangor

Di Pucuk Sepi

Dan siapa memegang belati
menancap jantung menusuk kalbu
yang kian terpilin nestapanya
di hujung segara barisan pelaut
menjunjung kesida-sidaan nakhoda
yang cuba memintas sejarah esok
melimpasi nostalgia tak bertepi
tragedi kealpaan satu bangsa
yang baru sedang belajar
menjadi tuan
satu bangsa yang sedang mengejar
ekornya sendiri!

yassinsalleh
Nov 25, 08; jam 1523.
kajang, selangor

Bulan Membariskan

Malam ini bulan
membariskan bintang-bintang
bagaikan nakhoda tempang
cuba membariskan pelautnya
di pucuk gelombang
dan esok mentari pula
akan membariskan pelangi
bagaikan bendahara
membariskan perawan tua
bertelanjang di anjung istana.

Lalu akan berebutanlah
para sida-sida perkasa
menagih mimpi menerpa janji
syahwat yang dikasi raja,
demikianlah adanya
kau yang bernama Melayu
hanyalah sekadar lembu-lembuKASI
yang amat setia berbaris
menunggu janji menanti mimpi
sementara para dewa
bermukah di mimbar biara.

yassinsalleh
dis 12. 08, jam 1821.

Di Pucuk Tualang

Kini
sedang memilin embun
untuk menggantung
nakhoda mata satu
di pucuk tualang.
 

yassinsalleh
dis 12. 08

Dipilin Nestapa

Telah datang dari rindu
selembar harapan pilu
memilin kalbu memintal sayu
suatu bangsa bercanda
di lantai janji semalam
yang cuma sekadar
soraksorai seloka duka
fatamorgana bercanda….

Makanya akan teruskah jua
engkau menghirup bara
sambil menghairahi berahi
di ranjang Hang Li Po
mengulit bahara
sambil dengan lidahmu
yang kelu kau masih jua
amat bernafsu melaungkan
ketuananmu –
sedang tanganmu
tidak lagi menggenggam bara!

Dan keris itu tak lagi
berani kau kucup
kerana Melayu
telah menjadi badut
dalam seloka tersembam
di celah paha perbarisan
perawan tua.

Berhentilah
kau berkata-kata
duhai sida-sida perkasa
kerana Melayu bangsa kita
sudah cukup azab
menatang nestapa
menanggung aib
kedayusanmu!
 

yassinsalleh
dis 12. 08, Jam 0520

1 comment:

  1. Salam, saya ingin bertanya. Saya terdengar lagu cik ke cik ke boom,
    timang-timang anakku sayang, lekas besar rajin belajar,
    jadi orang berguna di radio semalam. Tahukah siapa yang menyanyikan lagu tersebut?

    ReplyDelete