Penanti
di atas sebab
tak mau membazirkan wang
rakyat
dan kerana
pimpinan Negara
TIDAK tamak kuasa.
Dan
kerajaan negeri Perak
terjongkang-jongket
dalam senda hukum
sorong papan tarik papan
antara sah dan tak sah
yang tiba-tiba jadi sah
yang kemudiannya
ditiba-tibakan pulak
jadi tak sah yang sah,
aduhai,
bodoh benarlah kami ini ya!
wahai,
cerdik benarlah engkau tu ya!
Pordah!
Getik aku!
Dalam bahasa PPSMI,
“Whom are you trying
to bullshit man?”
iya, siapakah
yang engkau cuba
nak taik lembu jantankan?
yassinsalleh
0201 hrs mei 28, 2009
menunggu man u
mengalahkan Barcelona
dan nak tenguk
macam mana refri yang
pakai cawat besi berlari
Selsema Badutlah Pulak!
Dulu wabak babi Japanese encephalitis,
meletup-letup bangkai babi,
di bukit pelanduk.
Lepas tu selsema burung pulak
habis semua ayam itik kena bakar
Sebelum selsema babi menular
di mexico dan amerika,
di Malaysia bertahun kita
mengidap sakit mengantuk
jangkitan dari nyamuk luncai tiga beranak.
Untunglah nyamuk luncai
kini dalam ketidoran
mereka yang abadi.
Lantas akhirnya ketermengantukan itu
pantas dirayakan dengan permainan sarkas demokrasi
di bawah pokok di Perak yang
hingga kini belum juga berhenti
lelucon badut-badutnya,
aduhai!
Apapun juga kita masih jua ada
sedikit nasib baik,
di Penanti,
kepimpinan badut telah membuktikan
bahawa
mereka TIDAK tamak kuasa!
Manik Urai,
akan bagaimanakah
agaknya kau disunting
tanpa tamak
tanpa haloba
di gelanggang sarkas badut
yang kian tambah kelakar
dan terlondeh celananya.
Bermulalah
wabak selsema badut pulak!
yassinsalleh
1920 hrs, mei 28, 09
manik urai yang menanti
tanpa tamak tanpa haloba
tanpa sarkas tanpa badut
melondeh celana.
Citra Wayang Topeng-Topeng
kerabatku,
Melayu,
kian jua
membelai pilu menatang sayu,
menimbang untung,
menimang malang.
Terasa benar piatunya kita
di tanah pusaka terasa amat
menumpangnya
kita di rumah nan gadang
terasa sekali hidup bagaikan
tak beradat
terasa betapa adab bagaikan tak berbudaya
terasa amat aibnya kita melihat hukum dipersenda
bagaikan raja tak beristana
bagaikan penghulu tak bermukim
bagaikan tok empat tak berkampung
bagaikan buapak tak berlembaga.
Siang mengumpul nista,
malam mengulit nestapa,
kepuk tak berpadi
antah digesek sajikan bubur,
tubuh dah tak berkain,
perca dijahit pembalut badan,
telaga dah tak berair
embun ditadah pembasuh luka.
Dan dalam demikian kita sengsara
dara sunti teteknya dikelar
bagaikan mengukir teras kayu
membuat gasing mainan.
Merajalelanyalah sang putera
membinatangkan syahwat purbanya
di puncak tamadun digital
yang sudah glokal.
Lalu pak menteri terkencing
sendiri dalam berdiri celananya basah
dan giginya terkancing.
Dan
dalam bisunya itu
masih jua dia memperbudakkan
bijaksana rakyat jelata
kerana mereka melata
tak berterlinga
tak bermata.
Makanya belasungkawah
yang sedang ditempah oleh suatu bangsa
yang bercanda dalam seloka
meraikan pemimpinnya
menjenakai tamadun peradaban warisan
atas nama ketuanan suatu bangsa
dalam citra wayang
topeng- topeng.
yassinsalleh
1851 hrs, jun 1, 09
manik urai,
yang akan melihat,
ketamakan kuasa atau
ulangan percawatan ekor.
Ke Telinganya, Ke Dadanya, Menam Chao Phraya
jangan tuntut janji dari airnya
Chao Phraya mengalir jangan
tersangka ia hidup.
Ia mengalir,
bukan membersih harapan kekasih
membalas kasih.
Apa yang terjadi
pada dirinya bukan buatannya sendiri.
Dari mulanya dan masih hingga kini
Manusia menumpang ketenangan
Chao Phraya.
Dan kini penumpang telah tempangkan
segala cahaya dari kejernihan
Chao Phraya.
Jangan tekankan janji lagi
dengan Chao Phraya,
kerana dirinya sudah hilang seri,
kalbunya hlang sasa,
kelumpuhan upaya.
Kenalilah segala punca keruhnya
Kendalilah mimpi penumpangya semula,
Chao Phraya cuma sekadar menghanyutkan
apa yang terhumban kedadanya.
Jangan bebankan Chao Phraya,
jangan tagih sebarang janji
yang bukan kewajipannya,
ringankanlah beban Chao Phraya.
Mampukanlah ia untuk terdaya
mengatasi gangguan haloba manusia.
Biarlah tiupan angin selatan
membisikkan jeritan luka ke telinganya, ke dadanya,
Menam Chao Phraya.
Helang Segara
1614 hrs jun 8, 09
Labok, Kuala Krai,
Kelantan
Sepermai Fatamorgana
kenangan manis yang dikumpul waktu
telah satu demi satu
diabatalkan oleh mimpi-mimpi yang mungkir
lalu rebahlah satu sumpah
tak terkotakan janji idaman
bagaikan simfoni kehilangan lagu
bagaikan bunga menguntum tak berputik.
Sungguh amat lamanya sudah kita terpisah
imbauan mimpi-mimpi yang tewas
terus jua merasuk jaga dan tidurku
siang menakung luka
malam menatang duka.
Setiap kali aku tengadah
kau masih jua tetap di situ
dengan senyumanmu menyaksikan
betapa
kakiku yang luka
menari-nari di lantai pelangi
menanti gemalainya angin fajar
meniup hilang rintihan kalbu
yang kian piatu dan terbuang.
Waktupun bagaikan biasa amat patuh
mengumpul citra semalam
yang tetap jua setekunnya
menyusun lapis lapis nestapa
santak ke sudut benua
sarat harapan sepermai fatamorgana.
yassinsalleh
1540 hrs jun 7 09
Dalam pedih meniti nestapa
pelaut tua mencari pelabuhan semalam
Siang Ada Matahari, Malam Ada Bulan
Bumi ada langit
gunung ada bukit
lembah ada sungai
laut ada ombak;
demikianlah sempurnanya alam
diimbangkan Tuhan.
Tapi mengapa ya,
dalam diri manusia
cerdiknya tiada bijaksana,
berpelembagaan tak bertaklik,
berkiblat tak berpedoman,
bersyariah tak beriman.
Aduhai pandikar,
janganlah nama saja yang mulia.
Nurani harus ada sanubari
yang juga mulia kerana
kasih membawa sayang
benci mengiring khianat
hasad menular dengki;
dan janganlah kamu taksub
tak mahu tahu bahawa di situ
kamu ada tarikh tamat tempoh.
Kami rakyat yang melata dan jelata
janganlah dianggap bodoh.
Nizar, kamu ada kami,
Rakyat jelata yang berotak,
berhati bernurani,
mengerti,
berbudi dan berani.
yassinsalleh
1000 hrs jun 16, 09
Rakaman hasrat sidang kedua puluh satu
parlimenKALBUrakyat
majikan kepada
Speaker Dewan Rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment