Pengenalan

"The Yaslehs

Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, our dad, yassinsalleh, has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 10 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.

ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970 "

(dari blog ikanikandikaca)

Dan inisiatif anak-anakku tersayang ini, aku abadikan disini.

Terima kasih Abang, terima kasih Along, terima kasih Adik.

What a wonderful world. - yassinsalleh



Friday, May 23, 2014

Suatu Nama Besar Yang Abadi Keramat.


Kini UPSI,
dulu MPSI, Ibu Kandung.
Di sini dulu anak-anak kampung
belajar bagaimana nak jadi Cikgu.
Bagaimana nak ajar tulis papan batu.

Maka lahirlah di sini penyair besar .
Lahirlah juga orang politik besar di sini.
Lahirlah di sini sejarah melayu Besar.
Lahirlah pejuang merdeka besar di sini
Lahirlah di sini pendekar kata-kata besar
pawai pengisi merdeka besar-besar di sini.

Rata-rata mereka
anak-anak kampung jelata nan melata
berkampunglah mereka di sini semuanya
dalam dakapan Ibu Kandung berdaulat
suatu nama besar yang abadi keramat.

Di utara dalam kota berdarjat
berkampung pula anakanda-anakanda
para Big Men Waterland.

Papan batu tiada lagi sudah
untuk diajarkan menulisnya
Menulis WhatsApp pulakah
di sini akan diajar nanti.

yassinsalleh
Jam 1717. 22.5.14.
UPSI, Tanjung Malim,
Hakcipta © 2014 yassinsalleh
Semua Hak Terpelihara.

Thursday, May 1, 2014

Itulah Engkau, Kuala Lumpur.



Dalam silhouette wajahmu Kuala Lumpur
di antara kaki lima rumah kedai lama
dan menara serakah menjolok awan
kau sembunyikan aibmu sonder malu.

Di laman Mesjid Jamek
di atas tebing pertautan dua sungai
asal namamu, tertulis sudah betapa
tak bertaut falsafah kekuasaan
dan pasrah rakyat menuntut hak.
menuntut adil menolak batil.

Kau tembakkan gas menikam mata
kau pancutkan airgatal lori perang
kau balunkan cotar pecahkan kepala
anak-anak remaja,
bapak-bapak tua,
nenek-nenek bongkok tiga.

Atas nama mempertahan keamanan
atas kata menyurai himpunan haram
atas gelisah, atas resah
atas angkuh titah perintah
sang serigala tua seorang
dan pemain wayang orang-orang
di pentas lalang goyang-goyang
kau Kuala Lumpur algojo garang.

Dari kaki lima rumah kedai tuamu
ke menara tinggi pemanjat awanmu
kau sorokkan Bohongmu Bila Berbicara
kau selindungkan Mungkirmu Bila Berjanji
kau sembunyikan Khianatmu Bila Dipercayai.
dalam kumbahan semalammu sonder malu

Itulah engkau Kuala Lumpur
kota munafik nombor satu
hari ini kau tutup dataran merdekamu
esuk tukarkanlah namanya
jadikan ia
Dataran Mak Dia Punya Laki.

yassinsalleh
Jam 2201. 1.5.14
Kuala Lumpur Kota Munafik
Hakcipta © 2014 yassinsalleh

Semua Hak Terpelihara.

Friday, April 25, 2014

Suatu Bangsa Yang Kalah Judi

Melintas senja merentas malam
membawa duri semalam
membuka gulungan tikar
menyambut fajar bertamu
membuka citra baru.

Pencarian diri bermula semula di sini
cuba mengenali rupa wajah kini
suatu bangsa yang kalah judi
tersepit di celah-celah 
sorak sorai Tuan-Tuan gagah dan serakah
berjualan lelong dengan harga runtuh termurah
di pasar lambak akhir zaman megah keTuanan
yang dah terbalik tunggang langgang
dalam telanjang mengangkang.

yassinsalleh
0253 hrs. 26.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved


Monday, April 21, 2014

Eiii,,, getiknya aku


tukang lulus balak
bertandak tergelak-gelak
yang jual kawasan balak
beli mercedes, proton dia taknak
orang pinggir hutan makan dedak.

Hutan rebah
air tak bertadah
sungai bah orang susah tidur di sekolah
orang miskin
sejuk tak bergebar makan nasi kawah
orang kaya
tayang gambar wang besar cek lebar

Musim kemarau orang politik demam tak kebah
air dicatu macam zaman Jepun dulu makan ubi kayu
kencing berak pakai dedat kertas tisyu
yang kaya dedalu
yang papa Melayu.
eii... getiknya aku.

yassinsalleh
1900 hrs. 21.4.14.
La Casa Pacifia D Yasleh
Copyrights © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Wednesday, April 16, 2014

Belasungkawa untuk Karpal Singh, Harimau Jelutung Terbilang



Karpal Singh
Penegak keadilan berani sudah pergi
Hilangmu tak kembali lagi ke sini
Adalah kehilangan satu tangan lagi
Pengibar
Panji-panji perjuangan kebebasan demokrasi
Pulangmu nan tragis ke alam abadi
Adalah hilang satu genggaman lagi
Penjulang
Lentera benderang penyuluh lorong perjuangan
Karpal Singh, Harimau Jelutung terbilang
namamu akan selamanya abadi dalam kenangan
bersama semangatmu di hembusan angin zaman.
Tenteramlah engkau di sana, hendaknya, pahlawan.

yassinsalleh
1105 hrs. 17.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rghts Reserved

Di Sini Pula Aku Sekarang


Hospital tempat menangguhkan mati
Tempat melembutkan kerasnya sakit
Tempat mengeraskan lemahnya hati
Tempat memujuk belasnya luluh di hati.

Tempat orang sakit main sorok-sorok
Dengan jadual tamat tempoh
Tempat pengutip nyawa main kejar-kejar
Dengan senarai yang masih tertangguh.

Tempat eksperimen doa dan bunga
Di atas meja di sisi katil berangka
Tempat kelakar
siapa yang akan makan buah-buahan
yang dibawakan
atau yang membawakan
atau jatuh bersepah di lantai yang basah
dengan air mata luluh duka yang tumpah.

Hospital Serdang
Ke sini Mummy ku bawa datang
Di sini sudahnya Mummy pulang sorang
Di sini pula aku sekarang            
meneka bilakah senja membuka pintu malam
atau mencari nyanyi tempuan menganyam sarang.

yassinsalleh
0825 hrs. 16.4.14.
Hospital Serdang
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved.



Sunday, April 13, 2014

Barisan Penyair di Rumah SN Dato’ Baha Zain.


Barisan penyair, SN Dato' Baha Zain, SN Prof Dr Muhammad Haji Salleh, Raja Ahmad Aminullah, Zainal Abas @ Kasajiza A.S., yassinsalleh, SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan, di rumah SN Dato’ Baha Zain.
Foto :
Yasleh Khaliff Amri

Friday, April 11, 2014

Rambut Menutup Wajah - ATONDRA

Bicara Karya Penyair 3 - Mengimbau Jasa ATONDRA

Sabtu 3.5.14. 2.00 pm. di kediaman Dato' Atondra
No 117, Jalan SS 5/1, Kelana Jaya, Selangor DE.
Host : Datuk Johan Jaaffar.
Foto : Yasleh Khaliff Amri


Friday, April 4, 2014

Dia Hilang Berani


Bertahun tahun dia kembara di gurun
mencari rama-rama di rumpun kaktus
kakinya tak bersepatu menari dibara kerikil
makannya umbut kaktus minumnya embun di pasir

Rama-rama  yang sekian lama dicari
tiba-tiba terjumpa menari-nari di tasik
menguliti bunga air yang amat cantik

Mana mungkin dia berani turun ke air
setelah sekian lama kembara di pasir
aku tahu betapa dia hilang berani
kerana pengembara gurun itu
sebenarnya,
adalah aku.

yassinsalleh
0104 hrs. 5.4.14.
La Casa Pacifica D Yasleh.
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Thursday, April 3, 2014

Daun-daun Di Hujung Malam


Seorang lepas seorang
sahabat kita seniman sastera
tukang seni kata-kata
kembali ke rahmatullah.
innalillahi wainna ilahi rojiun,
al fatihah kita untuk mereka
Nahmar Jamil, Sahlan Mohd Saman
Jamaluddin D.
kita doakan semoga roh mereka
ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Senja sudah angkatan sezaman
satu demi satu kita bagaikan
daun-daun di hujung malam
gugur ke pangkal kemboja
yang tinggal cuma lapisan kertas
rakaman falsafah cendekia
dan nyanyi anak merdeka yang tak sampai.
Aduhai.

yassinsalleh
0234 hrs. 4.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved..

Thursday, March 27, 2014

Bagaikan Biasa


Bila ada bunga cantik menarik asyik
ranum harum menguntum senyum
gemalai menari di nyanyian angin
bagaikan biasa
tak siapa yang tidak akan suka
meraikan betapa dia bagaikan lukisan
di galeri pameran
lebih amat mempesona
bila ditandakan bulatan merah NFS
bagaikan tulisan di pagar taman
Dilarang Memetik Bunga.
Atau,
kalau tak mahu disuka
terus sajalah berbaring dalam kelambu.

yassinsalleh
0943 hrs. 28.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Sunday, March 23, 2014

Di hujung Pelangikah


Dalam sinar bulan suram
dalam sepi daerah sunyi
di hujung pelangikah
atau di kaki matari lelah
akan kita menari
dengan kaki tertusuk duri
rebahkah resah di jendela mimpi?

yassinsalleh
0630 hrs. 24.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh

All Rights Reserved.

DBP Rumah Gadang Melayu


Tingkat Empat DBP asal
lantai keramat tempat berdarjat
di situ semangat ASAS 50 memanjat
membumbung menunjang akar
mekar dan segar
sangsailah lautan perjuangan bakolilieng.

Keris Mas, Awam Al Serkam,  Usman Awang
Wijaya Mala, Abdullah Hussin
bersawah bendang bertapak semaian
Yahaya Ismail, Noor Azam, Salleh Daud,
Baha Zain, Kemala, Johan Jaafar
melanjutkan gemilang erti perjuangan.

Sudut Penulis dan Badan Budaya
laman penyair belajar gurindam
kolam anak teater belajar mandi.
DBP
Rumah gadang Melayu
di situlah
aku berpundung
setiap hujung minggu
 membancuhkan kopi
meniupkan seruling batang padi
untuk para mahaguru
sasterawan agung Melayu.

yassinsalleh
1043. hrs. 24.3.14.
Lalu tepi DBP
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Wednesday, March 12, 2014

Ke Tasik Permai Itu



Engkau kah itu
yang luka
yang duka yang nestapa.

Nanti malam
aku datang bersama kunang-kunang
agar kelip-kelip cahaya itu
bersama mentera nyanyi qalbu
akan dapat mengubat lukamu itu.

Belibis
temankanlah dia dahulu
sehingga datangnya aku.
ke tasik permai itu.

yassinsalleh
1031 hrs. 13.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved

Dan Mengundang Asyik



Kalau kau sepi  di tasik itu
akan ku pinta
belibis datang menemanimu
kerana untuk aku datang sendiri ke situ
sayapku tak seindah belibis nan cantik itu.

Duhai bunga tasik
tahulah
kau amat cantik.
dan mengundang asyik.

yassinsalleh
1204 hrs. 13.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved

Tuesday, March 11, 2014

Getik Aku



Banyak sangat perkaranya
banyak sangat halnya
banyak sangat bendanya
perkara besar, hal lebar, benda berlengkar.

Tapi takut nak cakap
takut nanti ada orang marah
takut nanti ada orang geram
takut nanti ada orang meragam
takut nanti ada orang berdendam
takut nanti manis gula akan jadi masin garam.

Ramainyalah,
walaupun hati kata Iya
Iya, iya, iya,
tapi mulut kata Tidak
tidak, tidak, tidak,
TIDAK!

Maka berbicaralah mereka
dalam bahasa yang berbelit-belit
menganjak tradisi hukum
yang cuba membasuh dosa
Si Anunya yang koro
dalam gempita nestapa
masyarakat burung unta
membenamkan kepala mereka
ke dalam pasir sarat lendir.

Getik aku melihat
betapa tamadun tundun
dan anu jantan yang dah betina.
Lama dah!

yassinsalleh
1207 hrs. 11.3.14.
La Casa Pacifica D Yasleh.
Copyright © 2014 yassinsalleh
All Rights Reserved.



Sunday, February 9, 2014

Allah SWT Tahu Ini.


Matahari
bila orang tanya
aku takut nak mengaku kita kawan
nanti malu pulak engkau.
jadi aku tidaklah dapat
nak memuji engkau.

Aku katakanlah
aku berkawan dengan bulan saja.
Apapun juga
terima kasihku dalam hati
kerana sinarmu
yang selama ini
memberiku cahaya
setiap kali bulan sembunyi
dan bintang-bintang tak peduli.
Allah SWT tahu ini.

yassinsalleh
1218 hrs.  10.2.14.
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.

Friday, January 24, 2014

Sudah Tidak Punya Apa-Apa.


-- buat Kakangku SSZ Ismas Saring.


Penyair tua dan pelukis remaja
berpadu di atas kenvas sebidang
di lantai galeri sekujur petang
dalam adunan warna kata-kata
dalam lantunan tri-v mempesona
dalam imbauan Jambatan Kota
Kontal Kantil berbicara dan bertanya
apakah penyair tua itu
akan terus jua sendirian
mengutip botolnya
dari lorong ke lorong
sambil dia mendongak ke langit
mencari-cari hujung pelangi
dalam kepulan asap cerutunya.

Wak Saring,

tiada lagi sudah
lenggang gadis di Jambatan Kota
kerana dia juga
sudah tidak punya apa-apa

yassinsalleh
1657 hrs. 23.1.14.
Galeri Shah Alam.
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved.